
KUALA LUMPUR: Tinggal satu lagi perlawanan yang perlu ditempuhi dua beregu campuran negara sebelum bertarung sesama sendiri di pentas final Terbuka India.
Terdahulu, gandingan nombor satu negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei mengesahkan tiket ke separuh akhir selepas menundukkan beregu Thailand, Ruttanapak Oupthong-Jhenicha Sudjaipraparat 21-16, 21-17 pada aksi suku akhir di Kompleks Sukan Indira Ghandi, New Delhi, hari ini.
Turut mengiringi mereka ke kelompok empat terbaik adalah pasangan profesional negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie yang menewaskan gandingan Taiwan, Yang Po Hsuan-Hu Ling Fang 21-11, 21-15 dalam satu lagi aksi suku akhir.
Kemenangan kedua-dua gandingan negara itu meletakkan mereka di landasan tepat untuk membuat perhitungan di pentas final kejohanan kali ini.
Bagaimanapun, mereka perlu melepasi halangan lawan masing-masing di peringkat separuh akhir esok.
Tang Jie-Ee Wei dijadual bertemu pemenang perlawanan antara beregu Jepun, Hiroki Midorikawa-Natsu Saito dengan Thom Gicquel-Delphine Delrue dari Perancis manakala Soon Huat-Shevon berdepan sama ada pasangan nombor dua dunia dari China, Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin atau rakan senegara mereka, Guo Xin Wa-Chen Fang Hui.
Menjelang aksi separuh akhir, Tang Jie, berkata masih ada beberapa kelemahan perlu diperbaiki di sebalik kemenangan yang dilakar dalam perlawanan hari ini.
“Masih banyak kesilapan-kesilapan mudah yang kami lakukan, keputusannya positif tetapi belum berpuas hati lagi. Kami percaya kami boleh melakukannya yang lebih baik lagi,” katanya kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF).
Bagi Shevon pula, dia dan Soon Huat gembira dengan peningkatan prestasi yang ditunjukkan mereka apabila berjaya menampilkan aksi yang konsisten dalam perlawanan.
“Memang ini adalah misi utama kami sejak beberapa tahun lalu untuk bermain dengan prestasi yang lebih konsisten. Sekarang konsistensi kami lebih baik dan kami berasa lebih yakin berbanding sebelum ini.
“Sebelum ini kami banyak buat kesilapan tetapi sekarang kami tidak benarkan diri buat silap terutama dalam beberapa pukulan awal dan ketika situasi mata penting,” katanya.
Ini adalah peluang kedua buat Tang Jie-Ee Wei dan Soon Huat-Shevon untuk merealisasikan final impian membabitkan dua wakil Malaysia di pentas final selepas terlepas berbuat demikian di Terbuka Malaysia, minggu lalu yang menyaksikan mereka tewas di tangan lawan masing-masing di separuh akhir.
Dalam pada itu, beregu wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah turut melangkah ke separuh akhir selepas menewaskan gandingan Jepun, Yuki Fukushima-Mayu Matsumoto 21-19, 21-18.
Mereka akan berdepan pemenang perlawanan antara Kim Hye Jeong-Kong Hee Yong dari Korea Selatan dengan Lee So Hee-Baek Ha Na bagi perebutan tiket ke final, esok.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.