comscore
Tumpuan :
Sukan

Aaron-Khai Xing manfaat latihan bersama juara dunia, buru emas juara remaja dunia

Oleh: Syakirah Zulkifly

KUALA LUMPUR: Beregu lelaki negara, Aaron Tai-Kang Khai Xing menjalani latihan bersama skuad senior kebangsaan dalam misi memburu pingat emas pada penampilan terakhir di Kejohanan Remaja Dunia di Nanchang, China hujung bulan ini.

Peluang menjalani latihan bersama Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang juga pemenang pingat gangsa Olimpik Tokyo dan Paris menjadi penyuntik semangat buat gandingan remaja itu menamatkan penantian gelaran juara remaja dunia selepas kali terakhir Malaysia memenanginya menerusi Goh Jin Wei pada 2018 lalu.

Menurut Khai Xing, menjalani latihan bersama mereka sebagai lawan dan rakan gandingan memberi banyak kelebihan kepada dia dan Aaron.

“Peluang diberikan jurulatih Rexy akan digunakan sebaik mungkin.

“Berada di gelanggang yang sama, memberikan aura berbeza, apa lagi berdepan juara dunia 2022.

“Saya mendapat motivasi dan lebih semangat apabila mendapat sokongan (pemain senior) dan memberi panduan jika melakukan kesilapan,” kata Khai Xing, ditemui di Akademi Badminton Malaysia.

Menurutnya, hasil latihan bersama itu, banyak aspek perlu dipertingkatkan dari segi kemahiran dan kawalan di dalam gelanggang.

Aaron turut menyuarakan keyakinan sama selain pencapaian mereka di Kejohanan Badminton Asia di Yogyakarta, Julai lalu.

“Saya rasa di Kejohanan Remaja Asia, kami agak kepenatan, malah mereka juga penat tetapi berjaya menekan kami.

“Jadi untuk kejohanan ini, kami perlu tingkatkan stamina,” kata Aaron.

Pada Kejohanan Remaja Asia Julai lalu, Aaron-Khai Xing memenangi pingat perak selepas tewas kepada pasangan China, Hu Ke Yuan-Lin Xiang Yi di final.

Kedua-duanya juga mengakui sudah bersedia dari segi fizikal sambil menyuarakan keyakinan di Kejohanan Remaja Dunia 30 September hingga 13 Oktober ini.

Malah, gandingan itu juga telah melonjak ke ranking ke-66 dunia ketika ini.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini