KUALA LUMPUR: Pemenang pingat Olimpik, Aaron Chia menafikan dia dan pasangan beregunya, Soh Wooi Yik menuntut RM2 juta setahun untuk kekal dalam pasukan kebangsaan.
Penafian itu dibuat Aaron selepas timbul spekulasi terdapat beberapa “pemain terkemuka” dilaporkan membuat tuntutan sedemikian kepada Persatuan Badminton Malaysia (BAM) walaupun tiada nama dinyatakan.
Spekulasi tertumpu kepada tiga pasangan teratas negara membabitkan Aaron-Wooi Yik, Pearly Tan-M Thinaah (beregu wanita) dan Chen Tang Jie-Toh Ee Wei (beregu campuran).
Bercakap kepada media selepas sesi latihan, Aaron secara tegas menafikan membuat tuntutan sedemikian sekali gus membuktikan komitmen mereka untuk kekal bersama pasukan kebangsaan menghadapi Sukan Olimpik Los Angeles 2028.
“Khabar angin itu sahaja…khabar angin. Saya tidak tahu sumber spekulasi ini.
“Sudah tentu ia bukan kami kerana kami telah pun menandatangani perjanjian kami. Saya tidak tahu siapa (mungkin membuat tuntutan sedemikian),” kata Aaron.
Khabar angin itu tidak menjejaskan tumpuan Aaron-Wooi Yik, kerana mereka berhasrat untuk bangkit daripada kemerosotan prestasi selepas Sukan Olimpik Paris, Ogos lalu.
Sejak memenangi gangsa Olimpik kedua berturut-turut, pasangan itu bergelut untuk memberi impak dalam dua kejohanan selepas itu iaitu di Terbuka Artik dan Terbuka Denmark, di mana mereka tampil sebagai juara bertahan.
Mereka seterusnya akan bersaing dalam Korea Masters, Kumamoto Masters dan China Masters.
Matlamat mereka adalah untuk memperoleh mata ranking yang mencukupi ke Jelajah Dunia BWF di Hangzhou pada Disember.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.