comscore
Tumpuan :
Sukan

Aaron -Wooi Yik ada ‘senjata rahsia’ hadapi BATC

FOTO: BAM

SHAH ALAM: Beregu lelaki utama  Aaron Chia-Soh Wooi Yik kini lebih bersedia untuk menggalas cabaran menghadapi Kejohanan Berpasukan Badminton Asia (BATC)2024 yang bermula esok, apabila mendedahkan memiliki ‘senjata rahsia’ untuk ditampilkan.

Enggan menceritakan lebih lanjut, Aaron memaklumkan, corak latihan baharu yang diperkenalkan barisan kejurulatihan, bukan semata-mata untuk BATC, ia juga sebagai persiapan menghadapi Sukan Olimpik Paris 2024, yang bermula 26 Julai hingga 11 Ogos depan.

“Saya rasa kesemuanya berjalan lancar, pada ketika ini kita menjalani program latihan untuk persediaan Sukan Olimpik, jadi kita sedang menyesuaikan diri dengan program latihan baharu… tetapi kita tidak boleh ceritakan.

“Ini mungkin kejohanan berpasukan kali ke-10 atau lebih yang telah disertai oleh kami. Saya rasa bahagian beregu lebih seronok, sebab kita boleh main scratch pair dan rakan sepasukan ada di belakang untuk beri sokongan,” katanya kepada pemberita di Pusat Konvensyen Setia City di sini, hari ini.

Malaysia tampil selaku juara bertahan akan membuka saingan Kumpulan B menentang Brunei esok.

Turut berada dalam kumpulan Malaysia, Kazakhstan yang bakal ditemui pada 14 Februari dan Taiwan yang dilihat selaku pencabar utama pada 15 Februari.

Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM) Rexy Mainaky berkata barisan kejurulatihan masih berbincang mengenai pemain yang akan diturunkan dalam perlawanan pertama esok.

“Pemain beregu mungkin kita akan bincang petang ini, sebab mungkin mahu sesuaikan diri dengan gelanggang… lagipun kita bukan cakap Kazakhstan dan Brunei itu mudah, tapi kalau boleh menang 5-0 pasti mahu yang terbaik,” katanya.

Ditanya sekiranya barisan kejurulatihan mempunyai sebarang perancangan untuk menurunkan scratch pair, Rexy berkata secara ringkas pihaknya masih belum mengetahui sekiranya mereka akan menggunakan strategi berkenaan.

Selain Aaron-Wooi Yik, barisan beregu turut menyaksikan kehadiran gandingan Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei dan Choong Hon Jian-Muhammad Haikal Nazri.

Manakala empat pemain perseorangan yang menggalas cabaran negara ialah Lee Zii Jia, Ng Tze Yong, Leong Jun Hao dan Eogene Ewe.

Loading...
Terkini