comscore
Tumpuan :
Sukan

Aaron-Wooi Yik diundi dalam kumpulan maut

Aaron – Wooi Yik meniti laluan sukar pada saingan Jelajah Dunia Akhir BWF di Hangzhou, China yang bermula Rabu ini. – FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Harapan beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik  untuk keluar daripada ‘badi’ tersingkir awal pada saingan Jelajah Dunia Akhir BWF, nampaknya sukar apabila diundi dalam kumpulan maut pada cabaran itu yang akan bermula di Hangzhou, China, bermula Rabu ini.

Aaron dan Wooi Yik meniti laluan berliku  apabila diundi dalam Kumpulan A bersama dua wakil tuan rumah  termasuk beregu nombor satu dunia, Liang Wei Keng-Wang Chang dan Liu Yu Chen-Ou Xuan Yi selain Takuro Hoki-Yugo Kobayashi dari Jepun.

Sebagai rekod, ini adalah kali keempat Aaron-Wooi Yik layak beraksi di kejohanan akhir musim yang menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan AS$2.5 juta (RM11.70 juta) itu selepas edisi 2019, 2020 dan 2022.

Tiga edisi sebelum ini menyaksikan bekas juara dunia itu gagal melepasi saingan peringkat kumpulan.

Kumpulan B pula dibarisi pasangan Indonesia, Fajar Alfian-Muhamad Rian Ardianto, Kang Min Hyuk-Seo Seung Jae (Korea Selatan), Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen (Denmark) dan Muhammad Shohibul Fikri-Bagas Maulana (Indonesia).

Sementara itu, undian bagi saingan beregu campuran menyaksikan pasangan negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei yang akan membuat penampilan pertama di kejohanan itu diundi dalam Kumpulan A.

Pasangan itu diundi bersama gandingan China, Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping, Yuta Watanabe-Arisa Higashino (Jepun) dan Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai (Thailand).

Saingan Kumpulan B membariskan gandingan nombor satu dunia dari China, Zheng Si Wei-Huang Ya Qiong, Seung Jae-Chae Yu Jung (Korea), Kim Won Ho-Jeong Na Eun (Korea) dan Tang Chun Man-Tse Ying Suet (Hong Kong).

Mengikut format pertandingan, dua pasangan teratas peringkat kumpulan layak ke separuh akhir.

Majlis undian yang berlangsung serentak dengan Majlis Makan Malam Gala sempena Jelajah Dunia Akhir BWF di Hangzhou, malam ini menyaksikan dua pemain Korea, Seung Jae dan An Se Young masing-masing dipilih sebagai pemain terbaik tahunan lelaki dan wanita.

Anugerah beregu terbaik pula dimenangi pasangan wanita China, Chen Qingchen-Jia Yifan manakala rakan sepasukan mereka dipilih sebagai pemain paling meningkat tahun ini.

Loading...
Terkini