KUALA LUMPUR: Kejayaan beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik menjuarai Masters Korea, semalam kembali mencerahkan peluang mereka untuk layak ke Jelajah Dunia Akhir BWF di Hangzhou, China, bulan depan.
Pasangan nombor enam dunia itu merangkul gelaran pertama mereka musim ini selepas menewaskan gandingan tuan rumah, Jin Yong-Kim Won Ho 21-23, 21-19, 21-14 pada aksi final di Gimnasium Iksan.
Berdasarkan kemenangan itu, Aaron-Wooi Yik mengutip 7,000 mata dan akan melonjakkan kedudukan mereka dalam kedudukan 10 terbaik ranking Jelajah Dunia dengan 63,090 mata.
Bagaimanapun, hanya lapan pasangan teratas layak beraksi dalam kejohanan akhir musim yang menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan AS$2.5 juta (RM11 juta) itu.
Justeru, Aaron-Wooi Yik perlu sekurang-kurangnya mara ke separuh akhir dalam dua kejohanan terakhir mereka iaitu Masters Kumamoto di Jepun yang bermula, esok dan Masters China dari 19 hingga 24 November ini bagi berpeluang beraksi di Hangzhou.
Bagi Aaron, kejayaan muncul juara di Masters Korea meningkatkan lagi tahap keyakinan mereka bagi mengharungi aksi di Jepun dan China khususnya dalam misi memburu tiket ke Jelajah Dunia Akhir.
“Kami gembira kerana perlahan-lahan dapat mengembalikan prestasi kami selepas kecederaan dialami Wooi Yik. Ini adalah kemenangan yang baik untuk kami.
“Ia adalah kejohanan yang sukar tetapi semuanya berjalan lancar. Kami akan terus memberikan yang terbaik dalam kejohanan dua baki kejohanan tahun ini,” kata Aaron.
Aaron-Wooi Yik akan membuka tirai saingan di Masters Kumamoto menentang pasangan Denmark, Daniel Lundgaard-Mads Vestergaard pada aksi pusingan pertama.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.