Tumpuan :
Sukan

Aaron-Wooi Yik tempah slot ke suku akhir

KUALA LUMPUR: Beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik mempamerkan taring sebenar mereka ketika mengesahkan tiket ke suku akhir Terbuka India, hari ini.

Pasangan nombor lima dunia itu tidak berdepan masalah untuk menundukkan gandingan China yang menghuni ranking ke-39, Xie Hao Nan-Zhang Wei Han 21-10, 21-18 dalam tempoh 33 minit pada aksi pusingan kedua di Kompleks Sukan Indira Ghandi, New Delhi.

Ini adalah suku akhir pertama buat Aaron-Wooi Yik musim ini selepas tersingkir di pusingan kedua di Terbuka Malaysia, minggu lalu.

Aaron mengakui mereka semakin mencapai tahap permainan sebenar mereka.

“Saya rasa kami semakin baik berbanding perlawanan semalam dan minggu lalu. Kami perlahan-lahan mendapatkan semula momentum, tetapi masih ada ruang untuk diperbaiki.

“Kami sudah bermain di sini selama tiga tahun dan rasanya kami semakin serasi dan semakin baik,” katanya kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

Sementara itu, Wooi Yik menyifatkan kekuatan mental menjadi faktor utama kemenangan menentang pasangan muda China itu.

“Saya rasa ini tentang kekuatan mental kami. Pasangan lawan masih muda, dan ini adalah pertemuan pertama kami. Kami tidak tahu apa yang mereka miliki, tetapi mereka memberikan cabaran sengit,” katanya.

“Apa yang kami lakukan dengan baik ialah fokus kepada permainan sendiri, dan ketika mata kritikal, kami lebih tenang.”

Aaron-Wooi Yik bakal berdepan sama ada gandingan Thailand, Dechapol Puavaranukroh-Kedren Kittinupong atau pasangan pilihan keempat dari Indonesia, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto bagi perebutan tiket ke separuh akhir, esok.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini