comscore
Tumpuan :
Sukan

Abdi, Shahrom perkuat barisan kejurulatihan Selangor FC

Abdi dan Shahrom bakal membantu Nidzam merencanakan skuad Selangor FC pada musim ini. – FOTO: Selangor FC/ Facebook

KUALA LUMPUR: Selangor FC hari ini mengumumkan pelantikan Abdi Hassan dan Shahrom Kalam sebagai penolong ketua jurulatih kelab itu bagi mengharungi baki saingan Liga Super musim ini.

Pelantikan dua individu berkenaan bertujuan mengisi kekosongan ditinggalkan Conor Nestor yang berhijrah ke Kemboja, baru-baru ini.

Abdi tidak asing lagi dalam kem kejurulatihan Selangor FC apabila beliau sebelum ini membimbing skuad Bawah 23 Tahun (B-23) yang kini mendahului saingan Piala MFL 2024/25.

Seorang lagi yang bakal membantu ketua jurulatih, Nidzam Jamil adalah Shahrom yang juga bekas pemain kebangsaan dan terkenal dengan peranannya sebagai pertahanan tengah berpengalaman Gergasi Merah.

Nidzam berkata, kehadiran dua individu berpengalaman itu diharap mampu membantu dalam merangka strategi lebih berkesan untuk skuad Gergasi Merah meraih kejayaan positif.

“Abdi bukan lagi wajah asing dalam keluarga Gergasi Merah, pengalaman luas beliau serta kemampuannya membangunkan bakat muda bagi peringkat tertinggi amat ditagih pasukan.

“Manakala untuk Shahrom, satu lagi wajah yang cukup sinonim dengan bola sepak Merah Kuning. Sifat kepimpinan beliau, pengalaman sebagai pemain, semangat serta dedikasi beliau terhadap pasukan bakal menjadi elemen positif akan dibawa beliau ke dalam pasukan,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini