comscore
Tumpuan :
Sukan

Abdullah Sani, Syed Yazid rebut jawatan Presiden KLFA

KUALA LUMPUR: Perebutan jawatan Presiden Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) menyaksikan pertarungan satu lawan satu antara pemangku presiden, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid dan naib presiden, Syed Yazid Syed Omar.

Perkara itu diumumkan Penolong Setiausaha Agung KLFA, Noor Aswana Afandi dalam sidang media pengumuman calon bagi kongres pemilihan persatuan itu, di sini, hari ini.

Noor Aswana berkata, hanya nama Abdullah Sani dan Syed Yaziq yang dicalonkan untuk merebut kerusi nombor satu itu dalam proses pencalonan, semalam.

“Kongres KLFA ke-35 akan berlangsung pada 12 Oktober 2024 untuk memilih seorang presiden, dua timbalan presiden, empat naib presiden dan 10 ahli jawatankuasa.

“Selepas ini kita akan keluarkan borang E pada Isnin ini yang mana untuk semua calon mengisi dan menerima pencalonan itu serta perlu dikembalikan tiga hari sebelum kongres,” katanya.

Pengarah dan juga penerbit filem terkenal tanah air, Datuk Afdlin Shauki Aksan akan merebut kerusi timbalan presiden.

Beliau dijangka akan berdepan saingan sengit daripada tiga lagi calon termasuk Datuk Azril Mat Drus, Datuk Kamaruddin Hassan dan Datuk Seri Wong Yeon Chai.

Bagi perebutan jawatan naib presiden, lapan calon akan bersaing merebut empat kerusi termasuk calon hangat Datuk Hisamudin Yahaya dan Datuk Ramlan Askolani.

Enam calon lain bakal merebut jawatan itu termasuk Mohd Hamidi Abu Bakar, Ibrahim Sani Asnan Mohamad, Azli Yusof, Datuk Sham Shamrat Sen Gupta, Nor Asyikin Jaafar dan Mohd Iqmal Hakimie ABdullah.

Sementara itu, 19 calon akan merebut 10 jawatan ahli jawatankuasa dengan Setiausaha Agung KLFA, Nokman Mustafa turut berada dalam senarai itu.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini