KUALA LUMPUR: Selangor FC (SFC) terus memantapkan lagi pasukan dengan mengikat pemain import dari Jordan, Mohammad Abualnadi yang boleh beraksi di bahagian pertahanan dan sayap kiri.
Kehadirannya menyaksikan Abualnadi muncul pemain ketiga Jordan beraksi bersama Selangor selepas Noor Al-Rawabdeh dan Ali Olwan.
Pemain berusia 23 tahun itu menjadi pemain terakhir diikat The Red Giants sebelum jendela perpindahan ditutup pada Ahad lalu.
Pemain kelahiran Jordan-Amerika ini memulakan karier bersama Kansas Academy semasa berusia 18 tahun dan beraksi dalam US Open Cup bersama skuad utama Sporting Kansas City, MLS Next Pro dan USL Championship bersama Sporting Kansas City II.
Abualnadi sempat beraksi dalam 11 perlawanan sebagai pemain muda sebelum menerima tawaran untuk terbang ke Jordan bersama kelab Al-Hussein SC.
Pemain ini juga adalah pemain kebangsaan Jordan yang telah beraksi bersama skuad bawah 23 tahun (B-23) dalam Kejohanan B-23 Persekutuan Bolasepak Asia Barat, pusingan kelayakan Piala Asia B-23 (tiga penampilan) dan satu aksi pada Kejohanan B-23 Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).
Musim 2024 menjadi batu loncatan bagi pemain berketinggian 1.8 meter ini apabila menerima panggilan kebangsaan bagi kem latihan pada Julai sebelum membuat penampilan pertama bersama skuad utama Jordan ketika berdepan Korea Utara dalam perlawanan persahabatan, 23 Ogos lalu.
Malah, dia turut tersenarai dalam dua perlawanan kempen pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2026 menentang Kuwait dan Palestin baru-baru ini.
Sementara itu, ketua jurulatih SFC, Nidzam Jamil menyatakan keyakinan beliau terhadap penambahan pemain di bahagian kiri pasukan.
“Sebagai jurulatih, saya percaya bahawa beliau akan menjadi aset yang berharga buat pasukan sebagai pemain pertahanan dan pemain sayap di bahagian kiri.
“Saya juga melihat potensi beliau untuk memperkukuhkan dinamik barisan pertahanan terutamanya dalam menghadapi Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) 2024/25,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.