comscore
Tumpuan :
Sukan

ACLE: JDT alami kekalahan pertama

Feroz (kanan) menjaringkan gol tunggal JDT. – FOTO: Ihsan Johor Southern Tigers

KUALA LUMPUR: Rekod tanpa kalah Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam aksi Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) musim ini lebur apabila tewas 1-3 kepada kelab Korea Selatan, Gwangju FC di Stadium Yongin Mireu, sebentar tadi.

Kekalahan itu nyata mengecewakan Harimau Selatan yang sebelum ini mencatat satu seri dan satu kemenangan.

Gol pembukaan tuan rumah dihasilkan oleh penyerang, Jasir Asani, yang menyudahkan peluang seawal minit ketiga.

Hanya tiga minit kemudian, Asani sekali lagi menghukum JDT selepas pertahanan, Feroz Baharudin, melakukan kesilapan.

Pemain kebangsaan Albania itu berjaya merampas bola dan melakukan larian solo sebelum menewaskan penjaga gol JDT, Andoni Zubiaurre, dengan rembatan leret.

JDT tidak berputus asa dan Feroz menebus kesilapannya dengan menjaringkan gol pada minit ke-28 menerusi tandukan hasil sepakan sudut Juan Muniz untuk menjadikan kedudukan 2-1.

Bagaimanapun, JDT yang lebih menguasai permainan gagal menyamakan kedudukan walaupun mencipta beberapa peluang, termasuk percubaan Arif Aiman Hanapi dan Muniz pada minit ke-78 yang tidak tepat.

Harimau Selatan dirundung kekecewaan apabila gawang mereka bolos buat kali ketiga, gol tercipta dua minit sebelum perlawanan tamat apabila tandukan Heo Yool terkena kaki pertahanan Park Jun Heong sebelum menerjah jaring.

Kekalahan ini memaksa anak buah Hector Bidoglio akur dan mereka kini perlu bangkit dalam perlawanan akan datang.

Gwangju FC kini mengukuhkan kedudukan di tangga teratas Zon Timur dengan sembilan mata, sementara JDT di tangga kelima dengan empat mata.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini