comscore
Tumpuan :
Sukan

Ada cabaran lain menanti Harimau Malaya selain Piala Asia

Skuad kebangsaan kendalian Kim Pan Gon menjalani latihan bagi menghadapi Piala Asia 2023 di Qatar. – FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Tumpuan skuad kebangsaan ketika ini lebih terarah kepada Piala Asia 2023, namun perjuangan skuad Harimau Malaya tidak akan berakhir setakat di Qatar kerana ada cabaran lain menanti mereka selepas ini.

Dua perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 berdepan Oman pada Mac akan menjadi aksi penting buat skuad kebangsaan sebelum dua aksi terakhir menentang Kyrgyzstan dan Chinese Taipei pada Jun nanti.

Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin menegaskan mereka perlu mencari jalan untuk mengesahkan slot ke pusingan seterusnya lebih awal dan mencuri mata daripada Oman serta Kyrgyzstan.

Tegasnya, mereka tidak boleh menunggu sehingga perlawanan akhir supaya tidak berdepan masalah yang mampu meranapkan impian mereka untuk mara ke Piala Asia 2027 secara merit.

“Jadi paling tidak, salah satu pasukan itu, kita akan seri ataupun kita cuba menang supaya dia tidak menang dua-dua perlawanan. Kalau dia menang dua-dua perlawanan, mereka akan ada sembilan mata dan Kyrgysztan akan kalahkan Taiwan, jadi kita nombor tiga.

“Apabila Kyrgyzstan kalahkan Oman, saingan menjadi lebih terbuka. Kita harapkan sebelum ini Oman boleh tewaskan Kyrgyzstan, jadi kita dengan Oman boleh layak tetapi sekarang peluang semakin terbuka.

“Kita boleh jadi juara kumpulan, boleh jadi naib juara ataupun jatuh nombor tiga. Ini adalah salah satu cabaran buat kita selain Piala Asia di Qatar,” kata Hamidin.

Selepas mengharungi dua perlawanan dalam pusingan kelayakan setakat ini, skuad bimbingan Kim Pan Gon menghuni tangga teratas Kumpulan D hasil dua kemenangan ke atas Kyrgyzstan dan Chinese Taipei.

Skuad negara bangkit menewaskan Kyrgyzstan 4-3 di Stadium Nasional Bukit Jalil sebelum menang tipis 1-0 ke atas Chinese Taipei di tempat lawan.

Loading...
Terkini