comscore
Tumpuan :
Sukan

AFF B16: Skuad B-16 negara belasah Timor Leste

Foto: FAM

KUALA LUMPUR: Pasukan remaja negara melaungkan amaran awal pada Kejohanan AFF Bawah 16 Tahun (B-16) apabila membelasah Timor Leste 5-0 pada aksi pertama Kumpulan C, sebentar tadi.

Perlawanan di Stadium Sriwedari, Surakarta, Indonesia menyaksikan barisan kendalian Javier Ribera beraksi cemerlang dengan menguasai hampir keseluruhan perlawanan.

Skuad B-16 negara bagaimanapun terpaksa menunggu hingga minit ke-35 untuk mendahului menerusi Izzuddin Afif yang menggelecek pertahanan lawan sebelum melepaskan rembatan yang menerjah jaring gol lawan.

Anak buah Ribera menampilkan permainan lebih agresif pada babak kedua dalam usaha mencari gol tambahan.

Malaysia menambah gol kedua menerusi Fahmi Farizamal pada minit ke-55 hasil umpanan Izzuddin.

Skuad negara makin selesa di hadapan apabila mendapat gol menerusi Awal Wafiy Ahmad Syukri pada minit ke-67.

Arrayan Hakeem kemudiannya mencipta nama sebagai penjaring dengan melepaskan rembatan dari luar kotak penalti pada minit ke-79.

Awal Wafiy melengkapkan malam gemilang skuad muda negara dengan meledakkan gol kelima pada minit ke-89.

Keputusan itu menyaksikan Malaysia mendahului Kumpulan C dengan tiga mata manakala Timor Leste di tangga tercorot tanpa sebarang mata.

Australia dan Thailand seri 0-0 dalam satu lagi perlawanan kumpulan itu.

Rabu ini, Malaysia akan menentang Australia, pasukan yang dikendali bekas jurulatih skuad B-23 negara Brad Maloney.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini