
RABAT: Afrika Selatan akan bertemu Mesir yang diketuai Mohamed Salah manakala Nigeria yang dikemudi Ademola Lookman perlu mengharungi cabaran Tunisia selepas undian peringkat kumpulan Piala Negara-Negara Afrika (AFCON) 2025 di Rabat awal pagi tadi.
Tuan rumah Maghribi berdepan pasukan pembunuh gergasi Comoros pada aksi pembukaan kejohanan 24 negara itu pada 21 Disember manakala juara bertahan Ivory Coast menentang juara lima kali Cameroon.
Sudan, negara yang bergolak dengan perang saudara, diundi bertemu Algeria dengan pertembungan antara Senegal dan Republik Demokratik Congo satu lagi perlawanan menarik di peringkat kumpulan.
Penyerang prolifik Salah menang beberapa kejuaraan bersama Liverpool, tetapi belum berjaya dalam AFCON. Dia hampir melakukannya dengan muncul naib juara pada tahun 2017 dan 2022.
Selain Afrika Selatan, pemegang rekod juara tujuh kali itu akan berdepan dua lagi negara dari selatan benua itu, Angola dan Zimbabwe dalam Kumpulan B.
Nigeria, naib juara di belakang Ivory Coast tahun lalu, dikurniakan dengan penyerang terbilang, termasuk Pemain Terbaik Tahunan Afrika, Lookman dan pemenang sebelumnya Victor Osimhen.
Tunisia, yang melakar rekod penampilan ke-17 berturut-turut dalam AFCON serta pencabar dari timur Afrika, Uganda dan Tanzania melengkapkan Kumpulan C.
Amad Diallo, yang melakar hatrik bersama Manchester United menentang Southampton baru-baru ini, dijangka bermula dalam kesebelasan utama buat Ivory Coast, yang turut berdepan Gabon dan Mozambique dalam Kumpulan F.
Dengan kelebihan sebagai tuan rumah dan memiliki pemain berpangkalan di Eropah seperti pertahanan Paris Saint-Germain, Achraf Hakimi, Maghribi berharap untuk muncul tuan rumah keempat AFCON menjulang trofi itu pada abad ini.
Dalam 13 edisi terakhir sejak 2000, hanya Tunisia pada 2004, Mesir dua tahun kemudian dan Ivory Coast pada 2024 berjaya muncul juara di laman sendiri. – AGENSI
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.