comscore
Tumpuan :
Sukan

Agong, Permaisuri Zahir Ucapan Tahniah Kepada Aaron-Wooi Yik

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan ucapan tahniah kepada beregu lelaki utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik atas kejayaan melakar sejarah menjadi pemain badminton pertama negara berjaya bergelar juara di Kejohanan Badminton Dunia 2022 di Tokyo, Jepun hari ini.

Seri Paduka Baginda berdua menzahirkan rasa sukacita dan bangga di atas kejayaan tersebut yang sekali gus mengharumkan nama Malaysia di persada dunia.

“Pencapaian cemerlang Aaron Chia dan Soh Wooi Yik telah sekali lagi membuktikan bahawa Malaysia mampu melahirkan atlet yang berkualiti dan bertaraf antarabangsa.”

“Ianya juga membuktikan bahawa dengan iltizam, semangat perjuangan yang tinggi dan usaha yang bersungguh-sungguh, rakyat Malaysia mampu bersaing dan berjaya di peringkat dunia.”

Seri Paduka Baginda berdua turut menzahirkan harapan semoga pencapaian ini akan membakar semangat Aaron Chia dan Soh Wooi Yik untuk terus berlatih dan bekerja keras untuk kejohanan-kejohanan mendatang serta menjadi sumber inspirasi kepada seluruh rakyat Malaysia.

Seri Paduka Baginda berdua turut menzahirkan ucapan selamat maju jaya kepada beregu itu serta mendoakan agar mereka dilimpahi kejayaan cemerlang berterusan.

Aaron Chia dan Soh Wooi Yik menamatkan penantian gelaran sulung negara di pentas Kejohanan Badminton Dunia selepas beregu yang berada di ranking keenam dunia itu mengalahkan pasangan dari Indonesia Mohammad Ahsan-Hendra 21-19,21-14 pada aksi final edisi ke-27 yang berlangsung di Gimnasium Metropolitan Tokyo, Jepun hari ini.

Loading...
Terkini