comscore
Tumpuan :
Sukan

Akibat enggan minta maaf, Sancho terpaksa berlatih dengan pasukan akademi

Bintang muda Manchester United, Jadon Sancho dan pengurusnya, Erik ten Hag terus berbalah. – Foto AGENSI

LONDON: Jadon Sancho dilaporkan enggan meminta maaf kepada Erik ten Hag susulan mesej celuparnya di laman X menyebabkan dia diarah oleh bos Manchester United itu supaya berlatih dengan pasukan akademi.

Hubungan Sancho dan pengurusnya tegang sejak bintang England itu mendakwa dijadikan kambing hitam selepas Ten Hag menggugurkannya daripada skuad perlawanan ketika United tewas 3-1 di tangan Arsenal.

Menurut The Athletic, Sancho diminta memohon maaf kepada Ten Hag tetapi dia enggan melakukannya.

Keengganannya itu menyebabkan kelab Manchester itu mengenakan tindakan disiplin selepas mereka mengeluarkan kenyataan dia akan berlatih di luar daripada kelompok utama.

Kenyataan ringkas kelab menyebut: “Jadon Sancho akan kekal menjalani program latihan peribadi di luar daripada kelompok pasukan utama, bergantung kepada penyelesaian isu disiplin pasukan.”

Sancho mendakwa Ten Hag menggunakannya sebagai kambing hitam apabila pengurus Belanda itu berkata, alasan dia tidak dipilih bagi pertembungan di Stadium Emirates adalah disebabkan persembahannya ketika latihan.

Pemain berusia 23 tahun itu menggunakan media sosial untuk menyuarakan pendapatnya mengenai perkara berkenaan.

Dia menulis: “Saya tidak akan membenarkan orang berkata sesuatu yang jelas tidak benar, saya berlatih dengan bagus dalam latihan minggu ini.

“Saya percaya ada sebab lain bagi perkara ini yang saya tidak boleh terima, saya sudah lama dijadikan kambing hitam, sesuatu yang tidak adil!

“Apa yang saya mahu lakukan adalah bermain bola sepak dengan kegembiraan dan menyumbang kepada pasukan.

“Saya menghormati setiap keputusan yang dibuat staf kejurulatihan, saya beraksi dengan pemain yang hebat dan bersyukur untuk berbuat demikian dan saya sedar setiap minggu adalah satu cabaran.

“Saya akan terus memperjuangkan lencana ini walau apapun.”

Sejak itu, Sancho memadamkan hantaran daripada akaun sosialnya tetapi dia difahamkan masih kecewa dengan situasi itu dan enggan meminta maaf.

Pemain sayap lincah itu menyertai United pada 2021 dengan harga £73 juta (RM424 juta) dari Borussia Dortmund, tetapi gagal memenuhi tanda harganya.

The Red Devils juga dilaporkan sedia menjual Sancho kepada kelab Arab Saudi pada musim panas ini sebelum jendela perpindahan ditutup.

Namun dilaporkan dia tidak terbabit dengan sebarang rundingan sebaliknya berkunjung ke New York untuk bercuti. – AGENSI

Loading...
Terkini