comscore
Tumpuan :
Sukan

Akibat reaksi luar batasan, Cavani dan Godin dihukum FIFA

FOTO: John Sibley / REUTERS

LONDON: Edinson Cavani dan Diego Godin adalah antara empat pemain yang digantung oleh FIFA kerana reaksi di luar batasan selepas Uruguay tersingkir dalam saingan Piala Dunia bulan lalu.

The Celeste gagal melepasi peringkat Kumpulan H di Qatar biarpun memenangi perlawanan terakhir mereka 2-0 menentang Ghana yang menyaksikan Korea Selatan mara selepas menjaringkan lebih banyak gol.

Uruguay berang apabila Cavani dinafikan penalti lewat biarpun dijatuhkan di kawasan Ghana dan penyerang Valencia itu menolak monitor VAR selepas wisel penamat manakala beberapa rakan sepasukannya mengepung pengadil Daniel Siebert.

FIFA pada hari Jumaat mendedahkan Cavani dan kapten pasukan, Godin dikenakan penggantungan satu perlawanan, manakala mereka juga perlu menyertai khidmat bola sepak komuniti dan membayar denda £13,140 (RM69,123).

Pertahanan Atletico Madrid, Jose Gimenez dan penjaga gol Galatasaray, Fernando Muslera digantung empat perlawanan oleh badan induk dunia itu dan di denda £17,520 (RM92,170) selain turut diarah melakukan kerja khidmat komuniti bola sepak.

Jawatankuasa disiplin FIFA juga mendapati FA Uruguay bertanggungjawab terhadap salah laku diskriminasi penyokongnya pada perlawanan 2 Disember lalu serta tingkah laku menyinggung perasaan dan pelanggaran prinsip permainan adil yang ditunjukkan oleh pemain.

FIFA turut menghukum Uruguay dan akan bermain dalam stadium separa tertutup yang mana peminat tidak dibenarkan berada di belakang gol.

FA Uruguay didenda £43,800 (RM230,466). – HARIAN METRO

Loading...
Terkini