LIVERPOOL: Perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) di antara Everton dan Liverpool, yang dijadualkan berlangsung di Goodison Park malam ini, ditunda akibat cuaca buruk, menurut kenyataan tuan rumah Everton.
Aksi tetangga Merseyside ini adalah perlawanan pertama liga utama England yang ditunda kerana ribut Darragh.
Menurut Everton, keputusan dibuat selepas mesyuarat kumpulan penasihat keselamatan yang membabitkan pegawai dari kedua-dua kelab, polis Merseyside, dan majlis bandaraya Liverpool.
“Disebabkan risiko keselamatan di kawasan sekitar akibat tiupan angin kencang, serta amaran angin kuat tahap amber yang berkuat kuasa sehingga jam 6 pagi Ahad, perlawanan hari ini perlu ditunda atas faktor keselamatan,” menurut kenyataan itu.
Pada Jumaat, polis Merseyside menasihatkan penduduk untuk mengelakkan perjalanan yang tidak penting sehingga cuaca kembali baik.
“Kami sedar perkara ini mengecewakan penyokong, tetapi keselamatan peminat, kakitangan, dan pemain adalah keutamaan.
“Maklumat mengenai tarikh baharu perlawanan, termasuk tiket, akan diumumkan kemudian,” ujar pendahulu liga, Liverpool dalam kenyataan mereka.
Perlawanan ini sepatutnya menjadi pertemuan sejiran Merseyside terakhir di Goodison Park dalam saingan EPL, dengan Everton dijangka meninggalkan stadium itu yang menjadi rumah mereka sejak 1892 pada penghujung musim ini.
Selain itu dua perlawanan Liga Kejuaraan, Plymouth Argyle melawan Oxford United dan Cardiff City menentang Watford yang dijadualkan pada Sabtu turut ditunda semalam.
Liverpool dijangka bertandang ke Girona untuk perlawanan Liga Juara-Juara Rabu ini, manakala Everton yang berada di tangga ke-15 akan menyambung aksi liga menentang Arsenal pada Sabtu depan. –REUTERS
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.