
SEPANG: Pelumba Gresini Racing, Alex Marquez mencatat masa terpantas dalam sesi latihan bebas sebelah petang MotoGP Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang, di sini hari ini.
Marquez mencatat masa satu minit 57.823 saat (s) untuk merampas tempat teratas daripada pelumba terpantas dalam sesi latihan 1, Jorge Martin daripada Prima Pramac Racing yang merekodkan 1:57.997s manakala Jack Miller daripada Red Bull KTM Factory Racing merekodkan masa 1:58.232s untuk tempat pelumba ketiga terpantas dalam sesi latihan petang.
Walaupun gagal mempertahankan kedudukan teratas, Martin yang sebelum ini mendahului dengan catatan 1:59.513s tetap gembira kerana dapat memperbaiki catatan masanya pada sesi petang.
“Ia satu sesi yang kompetitif dan saya gembira untuk merekodkan catatan masa yang baik dalam latihan sesi petang,” katanya kepada wartawan.
Dalam aksi Moto2, pelumba Jepun Ai Ogura daripada IDEMITSU Honda Team Asia, muncul terpantas dalam latihan kedua dengan catatan masa 2:06.093s.
Pelumba Sepanyol Aron Canet daripada Pons Wegow Los40 di tempat kedua dengan masa 2:06.093s sementara Jake Dixon daripada GASGAS Aspar Team di tempat ketiga dengan masa 2:06.246s.
Dua pelumba peluang khas tempatan mewakili Petronas MIE Racing RW, Azroy Anuar dan Helmi Azman di kedudukan dua terakhir.
Azroy mengakhiri sesi itu dengan masa 2:10.084s sementara Helmi kekal di kedudukan terbawah dengan 2:10.807s.
Pelumba Honda Team Asia Taiyo Furusato pula menguasai sesi latihan kedua Moto3 dengan catatan masa 2:12.518s mendahului David Alonso daripada GASGAS Aspar Team (2:12.555s) dan Matteo Bertelle daripada Rivacold Snipers Team di tempat ketiga dengan masa 2:12.570s.
Sesi ini juga menyaksikan tunggangan mengecewakan daripada seorang lagi pelumba tempatan, Syarifuddin Azman atau lebih dikenali sebagai Damok daripada MT Helmets – MSI yang turun ke tangga 26 dengan masa 2:14.598s
Damok pada sesi latihan pertama mencatat 2:14.258s untuk kedudukan ke-23 keseluruhan.
MotoGP Malaysia akan bersambung esok dengan sesi kelayakan dan hari perlumbaan pada Ahad.