LIVERPOOL: Penjaga gol Liverpool, Alisson Becker menjadi pilihan utama Bayern Munich bagi mengisi tempat Manuel Neuer yang dibelenggu masalah kecederaan, sejak beberapa tahun lalu.
Jika perkara ini berlaku, ia akan menjadi perpindahan mengejut dan menelan perbelanjaan yang besar ke Allianz Arena.
Ini kerana penjaga gol Brazil itu adalah pilihan utama di Anfield dan dia menikmati banyak kejayaan sepanjang bersama Liverpool.
Bagaimanapun Bayern Munich kendalian bekas bintang Liga Perdana Inggeris, Vincent Kompany berminat menandatangani Alisson.
Alisson, yang kontraknya masih berbaki tiga tahun di Liverpool, sudah beraksi 269 kali untuk The Reds.
Bayern dilaporkan mula meragui keupayaan Neuer yang kini berusia 38 tahun.
Alisson pernah dikaitkan dengan perpindahan ke Arab Saudi, dan Liverpool dikatakan sudah bersedia dengan kemungkinan itu.
Kehilangan Alisson akan memberi tamparan hebat buat skuad kendalian Arne Slot yang kini mendahului Liga Perdana Inggeris selepas enam perlawanan.
Liverpool sudah bersetuju menandatangani Giorgi Mamardashvili dari Valencia untuk musim depan.
Sepanjang di Anfield, Alisson menjuarai Liga Juara-Juara Eropah, Liga Perdana Inggeris, Piala FA dan Piala Liga.
Penjaga gol kedua Liverpool, Caoimhin Kelleher pernah terfikir untuk mencari pasukan lain bagi mendapatkan minit permainan, namun perpindahan Alisson akan membuka peluang buatnya membarisi kesebelasan utama dengan lebih kerap.
Masa depan Mohamed Salah, Trent Alexander-Arnold dan Virgil van Dijk di Anfield juga masih samar-samar dengan ketiga-tiga pemain itu memasuki tahun terakhir dalam kontrak masing-masing. – AGENSI
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa