LONDON: Arsenal menggunakan magis sepakan sudut mereka untuk mengalahkan Manchester United 2-0 awal pagi tadi, menamatkan permulaan tanpa kalah Ruben Amorim di kerusi panas Old Trafford.
United mengecewakan tuan rumah di Emirates pada babak pertama yang sengit tetapi Jurrien Timber memecah kebuntuan susulan sepakan sudut selepas rehat dan William Saliba mengulanginya bagi gol kedua.
Kemenangan itu menyaksikan Arsenal menghuni tangga ketiga EPL, di belakang Chelsea menerusi perbezaan jaringan dan tujuh mata di belakang Liverpool, yang seri 3-3 di Newcastle.
“Satu hari istimewa, 500 perlawanan di stadium ini. Kami menjaringkan dua gol menerusi set piece, tetapi kami mungkin boleh menyumbat gol daripada permainan terbuka banyak lagi,” kata pengurus Arsenal, Mikel Arteta kepada BBC.
“Kami kehilangan dua pemain tonggak di benteng pertahanan tetapi pasukan ini masih boleh bertindak balas.
“Permainan agak terbuka sedikit dan kami kelihatan ancaman utama. Amat gembira. Seronok untuk bermain di stadium ini dengan tenaga itu, ia sesuatu yang luar biasa.”
Amorim melakukan enam perubahan daripada pasukan yang membenam Everton 4-0 hujung minggu lalu, menggugurkan Amad Diallo dan Marcus Rashford daripada kesebelasan utamanya.
Gabriel jelas dirasai ketiadaannya di benteng Arsenal, menyertai Ben White dan Riccardo Calafiori dalam senarai kecederaan.
Amorim bertandang ke London dengan dua kemenangan dan sekali seri dalam tiga aksi pertama kendaliannya bagi semua pertandingan, menyedari Arsenal akan menjadi ujian terbesarnya setakat ini.
Bersandarkan sokongan kuat penyokong sendiri, Arsenal menekan United dan akhirnya memecah kebuntuan pada minit ke-54 apabila Timber menanduk masuk gol pertamanya buat kelab itu susulan sepakan sudut Declan Rice.
Arsenal menggandakan kelebihan itu berikutan sepakan sudut Bukayo Saka pada minit ke-73 apabila tandukan Thomas Partey di penjuru gol terkena Saliba dan melepasi penjaga gol lawan Andre Onana.
Arsenal menjaringkan lebih banyak gol menerusi tendangan sudut – 22 – berbanding mana-mana pasukan dalam EPL sejak permulaan musim lalu. – AGENSI
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.