LONDON: Pengurus Manchester United, Ruben Amorim berkata, ketika menangani masalah di kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) itu mengecewakan, beliau tetap yakin dengan keupayaan untuk menyelesaikannya.
United bertandang ke Wolves pada Hari Boxing, mengintai peluang untuk bangkit daripada dua kekalahan berturut-turut.
Amorim mengambil alih bulan lalu dengan pasukan itu menghuni tangga ke-14. Dalam enam perlawanan liga kendaliannya, United menang dua kali, kalah tiga dan seri sekali.
Kelab Old Trafford itu berada di tangga ke-13 ketika Hari Krismas, kedudukan terburuk mereka pada 25 Disember sejak tahun 1986, apabila mereka di tangga ke-15 pada bulan kedua kendalian Alex Ferguson.
“Ini mungkin satu daripada detik terburuk di kelab kami. Kami perlu menghadapinya dan kekal kuat,” kata Amorim kepada wartawan lewat malam tadi.
Ditanya mengapa kelab itu tidak mencapai kemajuan yang ketara, pengurus berbangsa Portugis itu berkata: “Jika saya tahu, saya akan menyelesaikan semua masalah kelab ini, termasuk ini (siling bocor).
“Saya tahu apa yang akan saya lakukan. Ia sudah jelas buat saya. Saya tidak katakan saya berasa tenang kerana saya benar-benar kecewa. Ia satu detik yang amat sukar tetapi kami akan menyelesaikan masalah langkah demi langkah dan mencari jawapan bagi segala-galanya.
“Saya hanya mahu menang. Saya tidak kisah mengenai Krismas. Saya hanya fokus mengenai kami perlu menang perlawanan berikutnya. Itulah satu-satunya perkara yang saya fikirkan.
“Kami mempunyai keistimewaan (di England) kerana boleh beraksi pada Hari Boxing untuk memberikan sedikit kegembiraan kepada penyokong dan kami benar-benar mahu memenanginya.”
Amorim mengesahkan pemain pertahanan Matthijs de Ligt dan Victor Lindelof masih diketepikan dan berkata beliau akan menyusun semula skuadnya untuk memastikan tiada lagi kebimbangan kecederaan baharu.
“Pada saat ini ia bukannya mengenai penggiliran pemain dan bersedia bagi masa depan (tetapi) hanya cuba mengelak sebarang kecederaan lagi,” katanya.
“Kami cuba menangani setiap perkara. Saya tahu ada satu projek jangka panjang dan kami fokus terhadapnya. Jika kami mempunyai kecederaan ia satu masalah besar.” – REUTERS
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.