comscore
Tumpuan :
Sukan

Amy Search, Haida pilih JDT, Wani, Ahmad optimis Selangor

Wani Kayrie, Haiza dan Amy Search mempunyai pasukan pilihan masing-masing untuk menjuarai Piala Malaysia malam ini. -Foto: NSTP

KUALA LUMPUR: Beberapa artis tanah air memilih Johor Darul Ta’zim (JDT) sebagai juara Piala Malaysia bagi musim ini berbanding Selangor FC pada aksi final di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam ini.

Penyanyi Amy Search menjangkakan JDT akan merangkul kejuaraan dengan kemenangan 1-0.

“Kedua -dua pasukan kuat tetapi Johor berpotensi untuk bergelar juara kerana mempunyai kelebihan dari segi pemainnya yang handal,” katanya apabila diminta mengulas mengenai pertemuan antara JDT dan Selangor pada aksi final Piala Malaysia malam ini.

Penyanyi dan penyampai radio, Haiza turut senada dengan Amy apabila meramalkan JDT akan menang 3-0.

“Selain saya juga rakyat Johor, saya pilih JDT juara kerana ia mempunyai peluang untuk menang. Ia mempunyai pemain yang bijak mengatur strategi serta semangat juang kental dan bersungguh-sungguh,” katanya.

Seorang lagi artis dari Johor, Mawi turut memilih JDT sebagai juara Piala Malaysia malam ini.

“Sebagai orang Johor walau dah menetap di Selangor semestinya saya menyokong JDT,” katanya tanpa meramalkan keputusan perlawanan.

Penyanyi Ahmad Syafiq pula memilih Selangor bakal muncul juara.

“Kemenangan akan berpihak Selangor, 5-4. Perlawanan akan sengit kerana kedua-dua pasukan sangat kuat. Selangor pasti bersungguh-sungguh untuk menewaskan JDT. Tetapi kemenangan berpihak kepada Selangor melalui tendangan penalti,” katanya.

Wani Kayrie turut senada dengan Ahmad Syafiq dengan memilih Selangor sebagai juara.

“Selangor akan menang 3-2. Kedua-dua skuad mempunyai pemain hebat. Walaupun daripada segi fasiliti, Selangor mungkin kurang dari JDT, semangat juang mereka lebih hebat,” katanya.

Penyanyi Anuar Zain dalam pada itu, mengucapkan tahniah kepada JDT dan Selangor aatas kejayaan mara ke final Piala Malaysia musim ini.

“Semoga perlawan pada hari itu adalah `fair game’ dan membuahkan aura positif serta menaikkan semangat kesukanan dalam kalangan kedua-dua pasukan,” katanya tanpa menamakan pasukan yang bakal menang. -BERITA HARIAN

Loading...
Terkini