comscore
Tumpuan :
Sukan

Olimpik Paris: Aniq bersedia hadapi Paris 2024

Mohamad Aniq Kasdan. Foto fail NSTP

KUALA LUMPUR: Badang negara ke Sukan Olimpik Paris 2024, Mohamad Aniq Kasdan menyifatkan segala persiapan menjelang temasya yang bakal membuka tirainya pada penghujung bulan ini berjalan dengan lancar.

Aniq yang bakal membuat penampilan sulung di pentas Olimpik Paris kini sedang dalam persiapan akhir dengan dirinya dijadual berlepas ke Turkiye bagi menyertai kem latihan fasa akhir akhir pada 20 Julai ini.

“Persiapan terkini Alhamdulilah semuanya berjalan lancar dan saya akan berlepas ke Turkiye pada 20 Julai ini untuk menjalani latihan akhir di sana.

“Ini adalah Olimpik pertama, semestinya saya mahukan keputusan yang terbaik dan akan cuba lakukan sebaik mungkin di sana nanti,” katanya.

Atas kertas, Aniq, 22, dilihat perlu melakukan angkatan melebihi 300 kilogram (kg) di Paris nanti bagi mencerahkan peluangnya menaiki pentas podium.

Perkiraan itu diambil berdasarkan keputusan di Olimpik Tokyo 2020 dan juga Kejohanan Dunia di Phuket, Thailand pada April lalu.

Tokyo 2020 menyaksikan atlet China, Li Fabin meraih pingat emas dengan 313kg, manakala Eko Yuli Irawan dari Indonesia (302kg) dan Igor Son dari Kazakhstan (294kg) masing-masing meraih perak dan gangsa.

Kejohanan Piala Dunia pula menyaksikan Li mengungguli kategori 61kg dengan angkatan keseluruhan 312kg, Hampton Morris dari Amerika Syarikat merangkul perak (303kg) dan Pak Myong Jin dari Korea Utara meraih gangsa (301kg).

Sebagai rekod, angkatan terbaik terbaik Aniq yang juga rekod kebangsaan adalah 296kg yang dilakukannya di Kejohanan Angkat Berat Antarabangsa di Doha, Qatar tahun lalu.

Sukan angkat berat dijadual berlangsung di Paris Expo Porte de Versailles dari 7 hingga 11 Ogos ini.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini