comscore
Tumpuan :
Sukan

Anwar penyokong setia Manchester United biarpun dianggap ‘kuno’ oleh cucu

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Biarpun dianggap kuno oleh cucunya, Datuk Seri Anwar Ibrahim kekal setia menyokong pasukan bola kegemarannya sejak dahulu iaitu Manchester United.

Perdana Menteri berkata, beliau akan menjadi ‘bahan jenaka’ cucunya yang meminati pasukan bola sepak berlainan, setiap kali pasukan Liga Perdana Inggeris pilihannya itu tewas dalam perlawanan.

“Saya ini dari dahulu memang penyokong Manchester United, jadi cucu-cucu saya kata Papa Tok (panggilan cucu kepada Anwar), ‘you are ancient’ (anda kuno), ‘the history is gone’ (ia sudah menjadi sejarah), saya kata tidak, saya tidak mahu tukar (sokongan kepada pasukan lain).

“Dia (cucu) sokong Arsenal, sebahagian kecilnya Liverpool, saya kata tidak, saya kata saya tidak akan bersama (mereka menyokong pasukan selain daripada Manchester United),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan warga Kementerian Kewangan (MOF), di sini hari ini.

Turut hadir, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, apa yang ditonjolkan cucunya itu menunjukkan bahawa minat terhadap sukan khususnya bola sepak bersifat menyeluruh dan merentas generasi.

“Setiap kali cucu saya datang, dia kata Manchester United kalah lagi Papa Tok… tak larat dengar,” katanya disambut ketawa hadirin.

Pada Ahad lalu, Manchester United mengalami kekalahan ketika menentang Liverpool dengan keputusan 0-3 di Old Trafford.

Dua gol daripada pemain sayap dari Colombia, Luis Diaz dan gol ketiga daripada penyerang terbilang dari Mesir, Mohamed Salah.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini