comscore
Tumpuan :
Sukan

Arab Saudi kejutkan Argentina

Oleh: Fariz Zolkarnain

LUSAIL: Arab Saudi melakar kejutan terbesar pada kempen Piala Dunia 2022 setakat ini apabila menewaskan juara dua kali, Argentina pada aksi pertama kumpulan C, sebentar tadi.

Tanpa rasa gentar dengan reputasi lawan yang turut membariskan bintang sensasi, Lionel Messi, wakil Asia itu berjaya membuktikan tiada apa yang mustahil dalam era bola sepak masa kini.

Argentina terlebih dahulu di depan menerusi sepakan penalti yang disempurnakan Messi pada minit ke-12, namun tindak balas Arab Saudi selepas itu mengubah segalanya.

Dengan beberapa gerakan dan kawalan kemas yang dipamerkan anak buah Herve Renard sehingga tamat babak pertama, momentum itu berjaya dikekalkan sebaik babak kedua bersambung.

Hasilnya, Saleh Al Shehri hanya memerlukan tiga minit selepas rehat untuk menyamakan kedudukan.

Belum sempat Argentina bangkit memperkemas permainan, Stadium Lusail terus gamat apabila Salem Al Dawsari bijak memperdaya dua pertahanan lawan sebelum melepaskan rembatan kaki kanan untuk gol kedua Arab Saudi, minit ke-53.

Tersentak, Argentina terus mengasak dan memiliki beberapa peluang selepas itu, namun benteng terakhir Arab Saudi yang dikawal penjaga gol, Mohammed Al Owais terus menjadi penghalang sehingga tamat masa permainan.

Arab Saudi bukan sahaja melakar kejutan terbesar setakat ini tetapi turut berjaya mencalar rekod 36 perlawanan tanpa kalah Argentina yang muncul juara Copa America.

Selepas ini, Arab Saudi akan menentang Poland, sementara Argentina akan melawan Mexico.

Loading...
Terkini