comscore
Tumpuan :
Sukan

Argentina tidak wajib menang Piala Dunia – Scaloni

Lionel Scaloni ketika sidang media pra perlawanan Argentina menentang Arab Saudi di Al Rayyan, Qatar. – FOTO: REUTERS

Oleh Fariz Zolkarnain

AL RAYYAN: Argentina tidak wajib memenangi Piala Dunia, kata jurulatih Lionel Scaloni menjelang perlawanan pertama kumpulan C menentang Arab Saudi, hari ini.

Walaupun memenangi gelaran juara Copa America tahun lalu dan sentiasa menjadi salah satu pasukan kegemaran di Piala Dunia, Argentina sudah lama tidak menjulang trofi bola sepak paling berharga itu dalam tempoh 36 tahun yang lalu.

“Dalam pasukan kebangsaan seperti Argentina, anda sentiasa menanggung tekanan sebagai jurulatih. Dan jika keputusan tidak sesuai dengan keinginan anda, saya tahu bagaimana ia berfungsi.

“Tetapi saya juga jelas tentang jalan yang saya pilih. Dalam keadaan apa sekalipun, kami tidak diwajibkan untuk memenangi Piala Dunia. Tidak sama sekali. Kami salah jika kami percaya itu.

“Kami akan bersaing dengan pasukan lain yang sangat bagus. Kami akan menikmati Piala Dunia ini. Kami berharap penyokong akan gembira melihat Argentina bermain bola sepak dengan cara yang kami sukai,” jelas Scaloni.

Argentina pernah memenangi Piala Dunia sebanyak dua kali pada 1978 dan 1986.

Pasukan diranking ketiga dunia ini juga pernah bergelar naib juara pada 1990 dan 2014 dengan kedua-duanya tewas kepada Jerman.

Pada edisi ke-22 kali ini, Argentina terus mengharapkan Lionel Messi sekalipun bintang utama itu dilanda masalah prestasi sejak meninggalkan Barcelona.

Messi, 35, sentiasa menjadi tumpuan di pentas Piala Dunia namun Arab Saudi yang menjadi lawan pertama di Qatar lebih memberi tumpuan kepada pasukan sendiri.

Jurulatih Arab Saudi, Herve Renard tidak menyenaraikan penjaga gol berpengalaman, Abdullah Al-Mayouf pada saingan kali ini tetapi lebih mengutamakan Muhammad Al-Owais, Mohammed Al-Rubaie dan Nawaf Al-Aqidi yang kurang penampilan di pentas antarabangsa.

“Penjaga gol yang akan bermain perlawanan esok (hari ini) telah bermain 17 perlawanan kelayakan Piala Dunia, jadi tiada masalah sama sekali,” kata Renard.

Loading...
Terkini