comscore
Tumpuan :
Sukan

Aria sedia sahut cabaran

PETALING JAYA: Aksi sulung liga akademi Mobile Legends Bang Bang Malaysia, MAL MY akan membuka tirai saingannya esok membabitkan penyertaan 15 pasukan.

Namun, apa yang menariknya adalah penampilan pemain wanita tunggal, Sharifah Alia Husna Syed Fakrrurozi atau Aria yang bakal memecah dominasi pemain lelaki beraksi dalam liga profesional MLBB.

Aria bakal beraksi bersama pasukan UKM X AERO, diletakkan dalam ‘Challenger Conference’ yang mempertaruhkan persaingan lapan pasukan.

Memang agak janggal, namun, kemampuan yang dimiliki Aria jelas cukup meyakinkan untuk dia disenaraikan.

Dan pastinya kehadiran Aria akan membuka pintu luas buat pemain-pemain wanita lain untuk turut menyertai liga profesional sebegini selepas ini.

“Saya sangat gembira jika ada pemain wanita lain sebagai lawan saya, jadi saya harap akan ada lebih ramai pemain wanita beraksi secara kompetitif dan kemudian kita akan dapat membentuk pasukan untuk beraksi di kejohanan peringkat dunia.

“Saya berharap semua terus menyokong saya tidak kira ketika saya kalah atau menang kerana jika ada sokongan, pastinya saya akan lebih bersemangat untuk menang,” kata Aria.

Mula bermain secara serius pada 2022, kelibat Aria memang tidak asing apabila dia disenaraikan antara 7 pemain yang menyarung jersi kebangsaan pada temasya Sukan Sea 2023 di Kemboja.

Lebih sensasi, skuad wanita negara ketika itu berjaya menghadiahkan pingat gangsa, selepas menewaskan Vietnam menerusi kemenangan 2-0.

Pernah menduduki tempat keempat Kejohanan Jemputan Wanita MLBB 2022, Aria turut cemerlang membantu pasukannya ketika itu, Homegirls menjuarai musim pertama Liga Profesional Wanita, selain Kejohanan Piala Gladiatrix ketika bersama pasukan Madness Ariel.

Dan tahun ini, dia membantu pasukan UKM menjuarai Kejohanan MSL musim kedua, sekaligus melayakkan pasukan mengambil bahagian dalam saingan MAL MY.

“Pasukan kami telah pun menjalani latihan iaitu ‘rank’, ‘scrim’ dan membuat ‘postmortem’, saya rasa pasukan kami mampu untuk mendapatkan slot ke ‘playoff’ iaitu kedudukan empat pasukan terbaik,” tambah Aria.

UKM X AERO akan berada dalam “Challenger Conference”, menampilkan lapan pasukan keseluruhan, namun tetap perlu menentang kesemua 14 pasukan lain dengan kutipan mata akan menentukan kedudukan dalam kumpulan masing-masing.

Juara di “Challenger Conference” akan layak secara automatik untuk beraksi di MPL MY musim ke 14, manakala naib juara akan bermain ‘playoff’ dengan pasukan tangga ke 9 MPL MY musim ke 13 untuk mendapatkan tiket kelayakan kedua.

Saingan MAL MY akan membuka tirainya esok dengan Aria bakal membuat penampilan bersama pasukan UKM X AERO menentang pasukan Homebois Syndicate.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini