KUALA LUMPUR: Pendahulu Liga Super China (CSL), Shanghai Port yang melayan kunjungan Johor Darul Ta’zim (JDT) bagi aksi Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) 2024/25 di Stadium Bola Sepak Pudong, malam tadi pasti akan sukar melupakan aksi lincah pemain negara Arif Aiman Hanapi.
Ketika tumpuan lawan pastinya terarah kepada deretan sembilan pemain import diturunkan dalam kesebelasan utama JDT pada aksi terbabit, namun sebaliknya berlaku, sentuhan anak tempatan, Arif memukau dengan ledakan dua. pada aksi yang terikat 2-2 itu.
Arif membuatkan tuan rumah tergamam apabila pemain kebangsaan itu membawa bola dari tepi ke kawasan tengah sebelum melepaskan rembatan yang menewaskan Yan Junling pada minit ke-44.
Dia berterusan menunjukkan ‘magisnya’ apabila menyambut hantaran jauh Jorge Obregon dan menyerang secara berseorangan sebelum melepasi kawalan Wei Zhen untuk menewaskan Junling buat kali kedua untuk JDT kembali memimpin perlawanan 2-1.
Sementara itu, Arif yang ditemuramah selepas perlawanan terbabit mengakui pertembungan itu adalah satu perlawanan yang sukar namun rakan sepasukannya sudah memberikan yang terbaik untuk pasukan dengan membawa pulang satu mata dari tempat lawan.
“Alhamdulillah dengan keputusan yang diraih malam ini (malam tadi). Saya akui ia perlawanan sukar bagi kami kerana ini adalah saingan elit bola sepak Asia dan saya jelas gembira apabila menyumbang dua gol pada perlawanan itu.
“Bukan saya harus dipuji sebaliknya semua pemain yang beraksi tadi mempamerkan aksi konsisten untuk meraih satu mata dan bukanlah tugas mudah dan kami akan bekerja keras lagi bagi menempuh aksi seterusnya,” kata Arif.
Jaringan pertama Arif Aiman pada aksi terbabit itu turut mendapat perhatian laman rasmi bagi pertandingan ACLE di platform X juga berkongsi klip pendek jaringan pertama pemain itu.
“Kejar saya jika kamu boleh! Arif Aiman menghidupkan malam Malaysia,” ciap @TheAFCCL menerusi platform X.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.