Tumpuan :
Sukan

Arif Aiman, Tommy digantung 3 perlawanan

Insiden pergaduhan membabitkan pemain JDT, Arif Aiman Hanapi dan pemain Perak FC, Tommy Mawat Bada pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada 10 November lalu. – FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Pemain Johor Darul Ta’zim (JDT), Arif Aiman Hanapi dan pemain Perak FC, Tommy Mawat Bada yang didapati bergaduh pada pertembungan dua pasukan itu di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) digantung tiga perlawanan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Ia menyaksikan kedua-dua pemain mendapat hukuman tambahan meskipun mereka sekadar dilayangkan kad kuning oleh pengadil, Razlan Joffri Ali susulan insiden yang tercetus pada minit ke-83.

Perkembangan itu disahkan Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM, Datuk Dr Baljit Singh Sidhu yang turut memaklumkan kedua-dua pemain itu diberikan amaran keras jika mengulangi kesalahan sama namun hukuman terbabit boleh dirayu.

Menerusi satu kenyataan media, FAM menjelaskan Arif Aiman dan Tommy didapati melanggar Artikel 59 Kod Tatatertib FAM iaitu kelakuan yang menyinggung dan fair play.

“Arif Aiman menumbuk di bahagian muka sebelah kiri Tommy pada perlawanan terbabit dan digantung tiga perlawanan membabitkan dua aksi pusingan 16 Piala Malaysia berdepan KL Rovers dan satu aksi Liga Super menentang KL City FC.

“Tommy pula menanduk kepala dan seterusnya mencengkam leher sebelah kiri Arif pada perlawanan itu dan digantung tiga perlawanan membabitkan dua aksi pusingan 16 Piala Malaysia menentang Kelantan Darul Naim FC dan satu aksi Liga Super berdepan Kedah Darul Aman FC,” kata Baljit.

Terdahulu, pergaduhan antara Arif Aiman dan Tommy ketika aksi Liga Super di Iskandar Puteri pada 10 November lalu mendapat perhatian peminat bola sepak tanah air.

Malah, peminat mengkritik mutu pengadilan dengan menganggap Razlan sepatutnya melayangkan kad merah kepada Arif Aiman apabila bintang Harimau Selatan itu dilihat menumbuk Tommy.

Pemilik JDT, Tunku Mahkota Ismail Ibrahim yang juga Pemangku Sultan Johor dalam laporan sebelum ini berpendapat pengadil sepatutnya melayangkan kad merah kepada Arif Aiman dan Tommy selepas didapati bergaduh pada perlawanan itu.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini