comscore
Tumpuan :
Sukan

Arif dan Faisal kagum kebangkitan Harimau Malaya

Kelincahan Arif memeningkan benteng lawan dan gerakannya membantu Harimau Malaysia lakar empat jaringan. – FOTO FAM

KUALA LUMPUR: Tidak ada nada meninggi diri bagi dua tonggak yang mencuri tumpuan membantu kemenangan dramatik Harimau Malaya mengalahkan Kyrgyzstan 4-3 pada saingan Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027  di Stadium Nasional Bukit Jalil malam tadi.

Baik Arif Aiman mahupun Mohamad Faisal Abdul Halim, masing-masing cuma berkongsi perasaan dengan kebangkitan yang ditampilkan skuad kebangsaan selepas  ketinggalan 1-3.

Meskipun tidak meletakkan nama selaku penjaring namun empat bantuan gol yang dilakukan menjadikan Arif  antara pemain paling menyerlah bagi aksi pertama kelayakan itu.

Faisal pula tidak mahu dianggap wira biarpun ledakannya pada penghujung perlawanan mengesahkan kemenangan Harimau Malaya.

Faisal tidak mahu dianggap wira, kemenangan baginya hasil kerja keras semua pemain di samping sorakan penonton. – FOTO FAM

“Terkejut juga kerana kita kena (bolos) tiga gol tetapi tiada sebab untuk kami mengalah, jadi kami terus lakukan yang terbaik dan dapatkan tiga lagi gol untuk menang. “Tak percaya juga dapat bangkit kerana kami menentang pasukan yang berada di ranking lebih tinggi. Tetapi apa yang penting adalah kami meraih kemenangan,” kata Arif

“Seperti yang dilihat kita cuba bangkit dan kalau diikutkan agak sukar untuk dapatkan tiga gol tapi rezeki kita berjuang sampai minit terakhir dan kita berjaya.”Susah untuk digambarkan… yang penting pasukan, penonton gembira dengan keputusan ini. Kami juga bangga dapat berikan kemenangan untuk rakyat Malaysia,” katanya.

Bagi Arif kemenangan ke atas Kyrgyzstan sangat penting untuk Harimau Malaya mendapatkan tiga mata dan juga mata ranking.

Faisal pula mahu rakan-rakan  lebih fokus untuk membawa pulang tiga mata apabila bertandang ke Taiwan untuk perlawanan kedua nanti.

Malaysia akan ke Taipei Selasa depan untuk meneruskan cabaran Kumpulan D yang menyaksikan Oman di tangga teratas selepas mengalahkan Taiwan 3-0 di Muscat.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini