
PETALING JAYA: Beregu negara, Wan Muhammad Arif Wan Junaidi-Yap Roy King meneruskan momentum kemenangan untuk melangkah ke separuh akhir Masters Sepanyol di Madrid, lewat malam semalam.
Pada aksi suku akhir, Arif-Roy King yang berada di ranking ke-65 dunia mengejutkan pilihan kelapan juga beregu ke-43 dunia dari India, Arjun Madathil Ramachandran-Dhruv Kapila.
Set pertama Wan Arif-Roy King menang 21-19, sebelum Arjun-Dhruv kembali bangkit menang set kedua 23-21.
Set ketiga, Wan Arif-Roy King menampilkan permainan lebih kemas berjaya menyaingi tekanan serta gaya pantas Arjun-Dhruv.
Selepas berlarutan 62 minit, beregu negara mengesahkan tempat ke separuh akhir menamatkan set penentuan 21-17.
Lawan mereka pada separuh akhir malam ini ialah gandingan dari Perancis, Christo Popov-Toma Junior Popov.
Pada suku akhir, pasangan adik beradik yang berada di ranking ke-45 dunia itu mengalahkan beregu China, Huang Di-Liu Yi 14-21, 21-18, 21-18 dalam masa 67 minit.
Sementara itu, pemain perseorangan lelaki, Leong Jun Hao gagal melepasi suku akhir selepas tewas straight set kepada pemain Taiwan, Chou Tien Chen, 16-21, 12-21.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.