comscore
Tumpuan :
Sukan

Arrifin, Jefri galas tugas Timbalan Ketua Pengarah MSN

Arrifin (kiri) dan Jefri (kanan) menerima surat pelantikan daripada Nagulendran (dua dari kiri) sambil disaksikan Abdul Rashid. FOTO: Ihsan MSN

KUALA LUMPUR: Majlis Sukan Negara (MSN) mengumumkan pelantikan Arrifin Mohd Ghani dan Jefri Ngadirin sebagai Timbalan Ketua Pengarah organisasi berkenaan berkuatkuasa hari ini.

Arrifin, 55 tahun, dilantik sebagai Timbalan Ketua Pengarah (Pengkomersialan dan Pemasaran) manakala Jefri, 51 tahun, menggalas tugas Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan Sukan).

Arrifin yang mempunyai Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang Universiti Teknologi MARA (UiTM) memulakan tugas di MSN pada 1995 sebagai Ketua Unit Hubungan Antarabangsa sebelum dilantik sebagai Ketua Unit Program Latihan Atlet pada 1998 dan Pengarah Cawangan Elit pada 2004.

Beliau kemudian memegang jawatan Pengarah Bahagian Khidmat Pengurusan pada 2015, diikuti Pengarah Bahagian Pengurusan Sukan pada 2018.

Beliau seterusnya dipinjamkan ke Majlis Sukan Negeri Melaka sebagai Pengarah MSN Melaka daripada 1 Februari 2019 sehingga 4 April 2020, sebelum ke Pejabat Pesuruhjaya Sukan sebagai Timbalan Pesuruhjaya Sukan sehingga Ogos 2023.

Arrifin kembali ke MSN untuk memangku jawatan Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan Sukan) sebelum dilantik sebagai Timbalan Ketua Pengarah (Pengkomersialan dan Pemasaran).

Sementara itu Jefri yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan di Universiti Miami, Florida, Amerika Syarikat memulakan tugas sebagai pegawai di Bahagian Pembangunan MSN pada 1993 sebelum menyambung pengajian ijazahnya daripada 1996 hingga 1999.

Kembali menyertai MSN pada 1999 di Bahagian Pembangunan sehingga 2003, Jeffri kemudiannya dilantik Ketua Unit Sukan Teras pada 2004 sebelum dinaikkan pangkat sebagai Pengarah Cawangan Pelapis pada 2005 hingga 2014, diikuti Pengarah Bahagian Atlet pada 2015.

Majlis penyerahan surat pelantikan disempurnakan Ketua Setiausaha KBS, Dr K Nagulendran disaksikan Ketua Pengarah MSN, Abdul Rashid Yaakub.

Loading...
Terkini