comscore
Tumpuan :
Sukan

‘Arsenal mampu jadi juara EPL musim ini’

Foto: Reuters

LONDON: Pemain sayap Arsenal, Bukayo Saka percaya pasukannya berpeluang menamatkan penantian selama 21 tahun untuk meraih kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini.

Keyakinan itu disuarakan pemain berusia 23 tahun berkenaan selepas The Gunners menewaskan juara Ligue 1, Paris St Germain (PSG) 2-0 dalam aksi Liga Juara-Juara, awal pagi tadi.

Arsenal menamatkan saingan di tempat kedua pada musim 2022-2023 dan membawa perebutan kejuaraan Liga Perdana ke hari terakhir musim lalu sebelum sekali lagi menduduki tempat kedua di belakang Manchester City.

Mereka ketika ini berada di kedudukan ketiga liga dan kemenangan mengagumkan ke atas gergasi Perancis itu menggariskan kekuatan skuad kendalian Mikel Arteta dengan Kai Havertz dan Saka menjaringkan gol dalam perlawanan itu.

“Saya tidak mahu meletakkan terlalu banyak tekanan kepada kami tetapi saya fikir ini adalah tahunnya (kami boleh memenangi gelaran).

“Saya berasa kami sudah hampir (memenangi gelaran) sejak dua tahun lalu dan kami semakin hampir, tetapi diharap ia akan menjadi tahun ini,” katanya.

Saka yang muncul penjaring terbanyak kelab itu dalam Liga Perdana musim lalu berkata, terlepas kejuaraan yang sudah hampir dalam genggaman menyebabkan dia dahagakan kejayaan.

“Kami percaya pada diri sendiri, kami percaya kami adalah pasukan teratas. Kami menunjukkannya malam ini (menentang PSG),” katanya.
Kali terakhir Arsenal muncul juara EPL adalah pada musim 2003-2004.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini