LISBON: Arsenal meneruskan kebangkitan semula mereka dengan kemenangan besar 5-1 ke atas Sporting Lisbon untuk mengukuhkan peluang layak ke pusingan 16 terakhir Liga Juara-Juara awal pagi tadi.
Pasukan kendalian Mikel Arteta menamatkan rentetan tiga perlawanan tanpa menang dalam semua pertandingan apabila menundukkan Nottingham Forest 3-0 dalam aksi Liga Perdana Inggeris hujung minggu lalu.
The Gunners meneruskan rentak kemenangan itu dengan persembahan lebih dinamik berdepan bekas pasukan jurulatih baharu Manchester United, Ruben Amorim di Stadium Jose Alvalade.
Gabriel Martinelli meletakkan Arsenal di depan dengan gol awal dan Kai Havertz menggandakan kelebihan itu sebelum Gabriel Magalhaes menanduk masuk sejurus sebelum rehat.
Goncalo Inacio membalas satu gol buat Sporting, namun penalti Bukayo Saka menyaksikan jurang besar antara kedua-dua pasukan itu.
Leandro Trossard menambah gol lewat untuk memberikan Arsenal lima gol di tempat lawan dalam aksi Liga Juara-Juara buat kali pertama sejak tahun 2008.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.