comscore
Tumpuan :
Sukan

Arteta enggan ulas kes Man City

FOTO: REUTERS

LONDON: Mikel Arteta menegaskan Arsenal kendaliannya perlu berusaha memenangi gelaran Liga Perdana Inggeris, bukan mengharapkan kejuaraan di atas hukuman ke atas Manchester City – bekas kelabnya dan pesaing terdekat mereka.

City didakwa oleh Liga Perdana Inggeris minggu ini di atas lebih 100 pertuduhan melanggar peraturan kewangan. Jika didapati bersalah, antara hukumannya termasuk denda, pemotongan mata atau diturunkan liga.

Skuad kendalian Pep Guardiola akan bertandang ke Stadium Emirates minggu depan bagi aksi pertama daripada dua pertembungan penentuan kejuaraan musim ini, dengan Arsenal kini mendahului lima mata dan bermain kurang satu perlawanan berbanding juara bertahan itu.

Arteta enggan mengulas berkenaan kes City, sebaliknya mahu pemain-pemain Arsenal terus memberi tumpuan di atas apa yang mampu dikawal mereka.

“Kami perlu berusaha memenanginya, itu sudah pasti. Ayuh fokus kepada apa yang perlu kami lakukan dan memenangi perlawanan untuk merealisasikannya,” kata Arteta.

Arteta memenangi dua gelaran Liga Perdana Inggeris sebagai pembantu Guardiola di City.

Arsenal akan berdepan Brentford malam ini dan perlu mengelak kekalahan ketiga berturut-turut dalam semua pertandingan.

Mereka ditewaskan oleh City dalam saingan Piala FA dan kemudian di Everton dalam saingan Liga Perdana Inggeris pada hujung minggu lalu.

“Bagi kami sukar untuk memikirkan tentang City apabila anda akan berdepan Brentford. Fokus sekarang hanya kepada Brentford,” katanya. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini