comscore
Tumpuan :
Sukan

Aston Villa terkandas di separuh akhir Liga Konferens Europa

Pemain Olympiakos meraikan kemenangan ke atas Aston Villa pada separuh akhir Liga Konferens Europa di Stadium Karaiskakis, Piraeus awal pagi tadi. – FOTO: Reuters

ATHENS: Sekalipun mendominasi hampir 90 minit permainan, Aston Villa gagal meneruskan kemaraan ke final Liga Konferens Europa apabila tewas 0-2 awal pagi tadi, sekali gus memberikan Olympiakos kemenangan 6-2 secara agregat.

Penyerang Olympiakos Piraeus, Ayoub El Kaabi meledak dua gol membantu kelab Greece itu layak ke final untuk menentang kelab Itali, Fiorentina.

Villa bermula baik tetapi El Kaabi, yang menyumbat hatrik pada separuh akhir pertama, memecah kebuntuan pada minit ke-10 ketika Daniel Podence merampas bola di sayap kiri sebelum mengumpan kepada pemain pertahanan Quini yang melorongkan bola kepada penyerang Maghribi itu bagi satu penamat mudah.

Pelawat mendominasi pegangan bola pada babak pertama, dengan pemain sayap Leon Bailey hampir menyamakan kedudukan menerusi rembatan padu pada masa kecederaan separuh masa pertama yang ditumbuk keluar penjaga gol Konstantinos Tzolakis.

Rentak pada babak kedua hampir sama ketika Villa, yang memburu final Eropah buat kali pertama sejak 1982, terus menguasai bola tetapi bergelut untuk mencipta peluang ketika benteng pertahanan Olympiakos mengekang setiap asakan pasukan kendalian Unai Emery.

Kegagalan Villa menembusi benteng lawan jauh berbeza berbanding El Kaabi, yang hanya memerlukan peluang kecil menentang kelab Inggeris itu untuk meledak masuk.

Pemain Olympiakos, Ayoub El Kaabi meraikan jaringan keduanya ke atas Aston Villa pada separuh akhir Liga Konferens Europa di Stadium Karaiskakis, Piraeus awal pagi tadi. – FOTO: Reuters

Dia menjaringkan gol sekali lagi pada minit ke-79, meluru di sayap kanan menyambut hantaran jauh Tzolakis dan menyumbat gol kelimanya dalam dua aksi separuh akhir, dengan keputusan awal membatalkan gol itu kerana ofsaid diubah selepas semakan VAR.

Kemenangan itu menyaksikan Olympiakos mara ke final Eropah buat julung kali dalam sejarah 99 tahun mereka, dengan perlawanan menentang naib juara tahun lalu Fiorentina akan diadakan pada 29 Mei ini di laman kelab Greece, AEK Athens.

Olympiakos layak ke suku akhir pertandingan UEFA buat kali pertama musim ini dan penampilan mereka pada final sebenua adalah yang pertama bagi kelab Greece sejak Panathinaikos tumpas kepada Ajax Amsterdam pada final Piala Eropah 1971.

“Kami tumpas di tangan pasukan yang lebih bagus dan saya fikir keputusan ini membuktikannya,” kata kapten Villa, John McGinn kepada penyiar TNT.

“Setiap orang yang terbabit amat kecewa, kami mahu berada di final Eropah tetapi kami akan berusaha sedaya mungkin untuk berada di kedudukan ini sekali lagi,” katanya. – REUTERS

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini