Tumpuan :
Sukan

Atlet karate wanita raih tiket akhir ke Sukan Asia Hangzhou

OLEH: Hazreen Mubarak

KUALA LUMPUR: Kontinjen negara ke Sukan Asia Hangzhou menambah satu lagi wakil, menjadikan keseluruhan 294 atlet bertanding di temasya edisi ke-19 itu yang dijadual membuka tirainya 24 September ini.

Ketua Kontinjen Negara, Datuk Chong Kim Fatt memaklumkan, tambahan atlet karate itu ialah Zakiah Adnan yang meraih pingat gangsa di Kejohanan Karate Asia di Melaka, bulan lalu.

“Ketika ini seramai 294 akan mewakili Kontinjen Negara ke Hangzhou nanti dan hanya satu penambahan dari sukan karate iaitu Zakiah. Atlet berusia 20 tahun itu akan pergi ke Hangzhou di bawah kategori A (ditanggung sepenuhnya).

“Oleh itu, jumlah keseluruhan Kontinjen Malaysia adalah 402 terdiri yang terdiri daripada atlet dan pegawai,” kata Kim Fatt kepada media selepas melakukan lawatan pertama selaku CDM ke kem latihan skuasy dan wushu di Majlis Sukan Negara (MSN), hari ini.

Dalam pada itu, Kim Fatt yang juga Presiden Persekutuan Wushu Malaysia berkata, seramai tujuh atlet wushu akan ‘berkampung’ selama sebulan di Beijing sebagai persediaan terakhir ke Sukan Asia Hangzhou.

Langkah itu diambil bagi memastikan atlet wushu memberi tumpuan sepenuhnya terhadap persiapan ke Hangzhou dengan sasaran untuk membawa pulang sekurang-kurangnya satu pingat tanpa mengira warna biarpun sedar bakal berdepan cabaran hebat dari China, Macau, Hong Kong dan Taiwan.

Loading...
Terkini