comscore
Tumpuan :
Sukan

Atlet muay thai, Rifdean dinobat Olahragawan Perak

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menyampaikan anugerah kepada atlet muay thai, Mohamad Rifdean Masdor, 21, dan atlet berbasikal, Nyo Chi Hui, 19, yang dinobatkan sebagai Olahragawan dan Olahragawati negeri Perak bagi 2021-2022. Foto: NSTP/Zulsyamini Sufian

IPOH: Atlet muay thai, Mohamad Rifdean Masdor dan atlet berbasikal, Nyo Chi Hui dinobatkan sebagai Olahragawan dan Olahragawati negeri Perak bagi tahun 2021-2022.

Jaguh olahraga para, Mohammad Ashraf Mohd Haisham memenangi Anugerah Khas Atlet  Para Terbaik Lelaki manakala Anugerah Khas Atlet  Para Terbaik Wanita dirangkul oleh Nur Jannaton Sarnoh (memanah).

Masing-masing menerima hadiah berupa sepasang blazer, wang tunai RM7,000 dan piala iringan.

Anugerah disampaikan oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dalam majlis Anugerah Sukan Negeri Perak (ASNP) di sini, malam tadi.

Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim turut berkenan berangkat ke majlis berkenaan.

Hadir sama dalam majlis itu ialah Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim; dan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan, Khairudin Abu Hanipah.

Mohamad Rifdean, 21, yang memenangi pingat gangsa bagi kategori lelaki 48kg dalam Sukan Sea Hanoi, Vietnam 2021, turut memenangi pingat emas pada Kejuaraan Dunia IFMA Abu Dhabi 2022 dan Kejuaraan Dunia IFMA Bangkok 2021.

Manakala, Chi Hui, 19, daripada sukan berbasikal, memenangi pingat emas menerusi acara Scratch Race dan pingat perak dalam acara Omnium and Sprint Berpasukan pada Kejuaraan Berbasikal Asia ACC 2022.

Sementara itu,  pelari pecut sensasi negara, Muhammad Azeem Mohd Fahmi diumumkan sebagai penerima Anugerah Olahragawan Harapan manakala Anugerah Olahragawati Harapan dirangkul oleh Shihomi Leong Li Xuan daripada sukan tenis.

Jurulatih kepada Mohamad Rifdean, Bernand Anak Radin merangkul Anugerah Jurulatih Terbaik.

Anugerah Pasukan Terbaik jatuh kepada Pasukan Hoki Piala Tun Abdul Razak.

Loading...
Terkini