comscore
Tumpuan :
Sukan

Ayuh ke SNBJ malam ini, bantu HM belasah Taiwan – Pan-gon

Sesi latihan terakhir skuad HM kendalian Kim Pan Gon (Kiri) di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.

KUALA LUMPUR: Pengendali Harimau Malaya, Kim Pan-gon masih menaruh harapan tinggi anak buahnya mampu membaham Taiwan menerusi jaringan besar pada aksi terakhir Kumpulan D pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027, malam ini.

Di sebalik tekanan diberikan jurulatih Taiwan, Gary White yang tidak akan memberi laluan mudah Pan-gon jelas tidak goyah, sekali gus berkeyakinan mampu mencipta kejutan ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2026 selain meraih tiket awal ke Piala Asia 2027.

Bagaimanapun, Pan-gon menjelaskan mana-mana pasukan yang menentang Harimau Malaya di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) akan berdepan tugas sukar terutama terpaksa berdepan penyokong atau pemain ke-12 Harimau Malaya.

“Sudah pasti semua jurulatih datang ke sini untuk menang, ia normal. Mereka tak boleh kata datang ke sini untuk seri atau kalah. Namun, realitinya mereka berdepan tugas sukar.

“Siapa sahaja datang ke sini (SNBJ) tidak mudah. Pasukan lawan berdepan kesukaran di Bukit Jalil kerana kami ada penyokong, Ultras Malaya dan suasana yang hebat di sini.

“Aksi di tempat sendiri, kami ada keputusan yang bagus terutama apabila lawan pasukan ranking lebih bawah, selain kami dapat kadar jaringan yang bagus,” katanya pada sidang media di Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), di sini, semalam.

Mengikut rekod, Harimau Malaya perlu mengatasi Taiwan sekurang-kurangnya lapan gol sambil mengharapkan Kyrgyzstan tewas kepada Oman di Muscat untuk melepasi kelayakan pusingan kedua.

Selain itu, Pan-gon menjelaskan pasukannya ketika ini memberi fokus untuk menjinakkan Taiwan terlebih dahulu sebelum berharap Oman mengalahkan Kyrgyzstan.

“Kami perlu menang dahulu (menentang Taiwan) dan jaringkan banyak gol, selepas itu baru kita lihat keputusan aksi Oman dan Kyrgyztsan.

“Saya percaya Oman pasukan lebih baik dari Kyrgyzstan, jadi mereka boleh menang di tempat sendiri,” katanya.

Setakat petang semalam, hanya 7,010 tiket perlawanan Malaysia bertemu Taiwan telah terjual.

Justeru, pengendali dari Korea Selatan itu meminta penyokong dapat membanjiri stadium bagi membantu skuad negara menjayakan misi besar membelasah Taiwan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini