comscore
Tumpuan :
Sukan

Ayuh sokong atlet negara, ‘Kita Semua Team MAS’

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh bersama atlet-atlet yang mewakili negara ke Sukan Olimpik dan Paralimpik pada Majlis Pelancaran Team Mas 50 Hari Menjelang Sukan Olimpik 2024 di Majlis Sukan Negara Malaysia hari ini. FOTO: Majlis Sukan Negara

KUALA LUMPUR: Menjelang 50 hari ke Sukan Olimpik Paris 2024, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memperkenalkan kempen Team MAS bagi mewujudkan gerakan nasional, menyokong atlet negara di semua temasya sukan.

Kempen yang membawa tema ‘Kita Semua Team MAS’ ini diharap menjadi tanda sokongan dan penyuntik semangat kepada atlet supaya mereka lebih berkeyakinan untuk berjuang di Paris dan membawa pulang pingat emas pertama buat negara.

“Persiapan atlet semuanya sudah terurus. Mulai sekarang kita sudah memasuki kiraan detik 50 hari, kita harap atlet akan terus mempunyai semangat yang kuat untuk menghadapi lawan mereka di Paris nanti.

“Kita Semua Team MAS’ bukan hanya mengenai Sukan Olimpik sahaja. Setiap kali atlet keluar negara mewakili Malaysia, mereka membawa sekali Team MAS ini. Saya juga ada berjumpa, menulis surat kepada pihak korporat untuk bersama kita.

“Saya percaya, pelaburan korporat untuk membangunkan sukan negara akan mendatangkan banyak nilai yang bukan sahaja dari nilai wang ringgit tetapi untuk bangunkan generasi masa depan.

“Saya tahu, sukan adalah penggerak penyatuan perpaduan di Malaysia dan ini satu panggilan untuk kita semua bersama,” kata Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh kepada media selepas Majlis Pelancaran Team MAS bersempena Sukan Olimpik Paris 2024.

Dalam pada itu, Hannah berkata, setakat ini seramai 33 atlet sudah melayakkan diri ke Paris 2024 yang membabitkan 18 atlet ke Sukan Olimpik bermula hujung Julai manakala 15 lagi ke Paralimpik yang dijadual berlangsung dari 28 Ogos hingga 8 September ini.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini