comscore
Tumpuan :
Sukan

Azeem dapat dana pendidikan RM600,000

FOTO : NSTP

Ipoh: Kerajaan Perak mengumumkan pemberian Dana Pendidikan Negeri bernilai RM600,000 kepada pelari pecut sensasi negara, Muhammad Azeem Fahmi menerusi pembentangan Belanjawan Perak 2023 oleh Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, hari ini.

Saarani (BN-Kota Tampan) berkata, pemberian itu sebagai galakan kepada anak muda yang lain untuk berjaya dalam bidang pendidikan dan sukan.

Menurut Saarani, pemberian itu susulan Mohd Azeem iaitu anak kelahiran Perak yang berjaya mencatatkan sejarah apabila memecahkan rekod kebangsaan acara 100 meter dengan catatan 10.09 saat di Kejohanan Olahraga Remaja Dunia di Cali, Colombia pada 2 Ogos lalu.

Selain Azeem, Saarani turut mengumumkan pemberian insentif bernilai RM100,000 kepada pasukan hoki lelaki Perak berikutan kejayaan mempertahankan kejuaraan Piala Tun Abdul Razak buat kali ketiga pada 16 Oktober lalu.

“Pada kesempatan ini juga, saya ingin mengucapkan tahniah kepada skuad hoki lelaki Perak berikutan kejayaan mempertahankan kejuaraan Piala Tun Abdul Razak buat kali ketiga.

“Sebagai penghargaan, Kerajaan Negeri berbesar hati memberi insentif bernilai RM100,000 kepada pasukan ini,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Saarani berkata kerajaan Perak memperuntukkan RM1 juta melalui Belanjawan Perak 2023 kepada Majlis Sukan Negeri (MSN) bagi mewujudkan Bilik Hidroterapi Atlet dan Penyelenggaraan Bangunan MSN manakala RM11.8 juta lagi disediakan di bawah Belanja Mengurus.

Katanya lagi, bagi terus menyokong pembangunan sukan di Negeri ini, Kerajaan Negeri turut menyediakan peruntukan lain antaranya RM1.4 juta untuk sewaan fasiliti sukan; untuk Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota-anggota Kerajaan (MAKSAK) (RM600,000); Program Sukan Perak (RM500,000).

Menurut Saarani, dana turut disediakan untuk Program Sukan dan Sukan OKU (Oramg Kurang Upaya) RM400,000; program sukan e-sport (RM200,000); dan Program Sukan Daerah (RM120,000).

Loading...
Terkini