comscore
Tumpuan :
Sukan

Azizulhasni terkandas di suku akhir

KUALA LUMPUR: Cabaran Datuk Mohd Azizulhasni Awang dalam acara pecut di Kejohanan Piala Negara-Negara Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) terhenti di peringkat suku akhir hari ini.

Pada saingan di Velodrom Antarabangsa Jakarta, Indonesia itu, jaguh negara berusia 35 tahun yang meraih perak acara Keirin semalam tewas kepada pelumba Israel Mikhail Yakovlev pada peringkat lapan terakhir.

Mohd Azizulhasni, pemenang pingat perak Sukan Olimpik Tokyo, bermula baik apabila memenangi saingan pertama dengan catatan 10.063s mengatasi Yakovlev dengan 0.062s.

Namun pelumba kelahiran Russia itu bangkit mempamerkan kayuhan lebih pantas dengan catatan 9.812s dan 9.845s pada saingan kedua dan penentuan untuk mara ke separuh akhir, masing-masing dengan kelebihan 0.197s dan 0.507s untuk mengatasi Mohd Azizulhasni.

Semalam, The Pocket Rocketman yang menjalani pembedahan jantung terbuka pada April lepas meraih perak acara kegemarannya, keirin, di belakang juara dunia tiga kali berturut-turut Harrie Lavreysen dari Belanda manakala Yakovlev membawa pulang gangsa.

Seorang lagi wakil negara Muhammad Shah Firdaus Sahrom tidak dapat beraksi hari ini kerana mengalami kecederaan selepas berlanggar dengan Sam Dakin dari New Zealand pada saat akhir perlumbaan keirin malam tadi.

Sementara itu, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri dan Anis Amira Rosidi gagal melepasi pusingan pertama acara keirin wanita.

Kejohanan di Jakarta, yang pertama daripada tiga siri Piala Negara-Negara itu, merupakan kejohanan pertama menawarkan mata kelayakan ke Sukan Olimpik Paris 2024. – BERNAMA

Loading...
Terkini