
Oleh: Hazreen Mubarak
KUALA LUMPUR: Kekalahan tipis 0-1 aksi pembuka tirai Johor Darul Ta’azim di tangan kelab Jepun, Kawasaki Frontale pada saingan Kumpulan I di Stadium Sultan Ibrahim semalam turut dikaitkan dengan kesilapan benteng tuan rumah.
Antara yang dipersalahkan penjaga gol kebangsaan Syihan Azmi yang gagal ‘membaca’ pergerakan barisan pertahanannya ketika mengekang asakan lawan.
Bagi pemerhati bola sepak tanah air, Syihan tak sepatutnya keluar dari posisinya ketika ketua pasukan Jordi Amat dan Matthew Davies dalam kombinasi mengunci pergerakan lawan.
Begitupun Matthew gagal menghalang Tatsuki Seko daripada melakukan hantaran menerusi tandukan kepada Marcinho yang melakukan sepakan gunting menewaskan Syihan yang sudah tidak berada di posisinya.
Namun buat bekas penjaga gol kebangsaan Azlisham Ibrahim, dia tetap memuji ketangkasan yang ditampilkan Syihan dalam menggagalkan beberapa percubaan bahaya Kawasaki.
Dari sudut positif, Azlisham menyifatkan Syihan bertuah kerana kesilapan itu berlaku pada perlawanan pertama peringkat kumpulan dan menjangkakan anak muda itu mampu bangkit dengan lebih gemilang selepas ini.
“Perkara ini memang ada penjaga gol yang buat kesilapan. Cuma bagaimana dia mahu bangkit dari kesilapan ini?”
“Ia memakan masa dari pengalaman dan pengajaran ini adalah terbaik buat Syihan” tambahnya.
Dijadual, skuad Harimau Selatan akan menentang kelab dari Thailand BG Pathum pada 3 Oktober ini untuk perlawanan kedua Kumpulan I.