comscore
Tumpuan :
Sukan

BADMINTON : Aaron,Wooi Yik mudah mara, cabaran Pearly,Thinaah berakhir seawal pusingan pertama

Aaron Chia dan Soh Wooi Yik – FOTO: BAM

Oleh Al Shaiful Nazib Talib

KUALA LUMPUR : Juara dunia, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik memulakan kempen di Terbuka Switzerland dengan langkah kanan apabila mudah mara ke pusingan kedua kejohanan.

Berdepan pasangan tuan rumah, Arthur Boudier dan Minh Quang Pham, Aaron dan Wooi Yik tidak berdepan masalah melakar kemenangan ‘straight set’ 21-10, 21-10 dalam tempoh 26 minit.

Dan mereka dijadualkan berdepan wakil Jepun, Akira Koga dan Taichi Saito di peringkat seterusnya nanti.

Turun mengesahkan kemaraan, satu lagi gandingan lelaki yang juga pilihan ketiga kejohanan, Ong Yew Sin dan Teo Ee Yi.

Mereka bagaimanapun cuba diberi cabaran sengit pasangan dari Scotland, Alexander Dunn dan Adam Hall pada set pertama sebelum menang 22-20.

Dan Yew Sin-Ee Yi tidak lagi memberi ruang pada set kedua, melengkapkan aksi dengan kemenangan 21-13, menamatkan perlawanan yang berlangsung selama 34 minit.

Dalam pada itu, nasib berbeza dialami pasangan wanita negara, Pearly Tan dan M. Thinaah.

Mereka yang turun selaku pilihan ketiga kejohanan dikejutkan dengan kekalahan kepada gandingan Taiwan, Lee Chia Hsin dan Teng Chun Hsun dalam pertarungan tiga set.

Tewas 15-21 pada set pembukaan, Pearly dan Thinaah bangkit menguasai set kedua menerusi kemenangan 21-14 mengheret perlawanan ke set penentuan.

Bagaimanapun, tuah nyata tidak memihak mereka apabila terpaksa akur dengan kekalahan 16-21 selepas bertarung selama 58 minit.

Loading...
Terkini