comscore
Tumpuan :
Sukan

BADMINTON: ABM ambil tanggungjawab prestasi hambar di Terbuka Malaysia

Ketua Pegawai Eksekutif ABM, Michelle Chai bersama Pengarah Prestasi Tinggi Dr Tim Jones di sidang media hari ini. – FOTO: Facebook/ BAM

BUKIT JALIL: Kegagalan pemain kebangsaan yang bertanding di Terbuka Malaysia dipikul sepenuhnya oleh Akademi Badminton Malaysia (ABM).

Ketua Pegawai Eksekutif ABM, Michelle Chai menyatakan mereka sememangnya bertanggungjawab di atas prestasi pemain negara yang bernaung di bawah Persatuan Badminton Malaysia (BAM) selepas banyak perkara tidak berlaku seperti diharapkan.

“Ya, sudah pasti saya (kami) mengambil tanggungjawab, tiada keraguan. Pemain juga bertanggungjawab. Jadi apabila pemain tidak beraksi dengan kemampuan mereka kami akan mengambil tanggungjawab itu.”

“Kekecewaan di Terbuka Malaysia 2023 ialah bukan dengan keputusan, tetapi disebabkan pemain itu tidak beraksi di tahap maksimum,” jelas Michelle dalam sidang media khas di Arena Axiata hari ini.

Jelas beliau lagi, pihaknya bukan hendak bermusuhan dengan pemain, tetapi mereka sehaluan bersama-sama mengejar objektif serupa memandangkan kedua-duanya saling memerlukan.

Beregu lelaki yang juga juara dunia, Aaron Chia/ Soh Wooi Yik serta pemenang Terbuka Perancis, Pearly Tan/ M. Thinaah gagal menunjukkan aksi diharapkan apabila masing-masing gagal melangkah jauh.

Gandingan Chen Tang Jie/ Toh Ee Wei pula menjadi satu-satunya pemain kebangsaan yang melayakkan diri ke pusingan suku akhir.

Dalam pada itu, ABM yang mengendalikan pemain kebangsaan merancang menggunakan pendekatan baharu terhadap aspek psikologi pemain.

Ini selepas elemen tersebut antara faktor kritikal yang membelenggu pemain Malaysia sejak sekian lama dan masih sukar ditangani.

Para pemain juga digesa keluar dari zon selesa dan mula berkorban memandangkan hanya mempunyai setahun setengah sahaja lagi untuk merealisasikan impian besar memenangi emas pertama negara Sukan Olimpik di Paris 2024.

Loading...
Terkini