comscore
Tumpuan :
Sukan

BADMINTON: Hampir setahun menyepi, Chen Long umum bersara

Foto: Olympic Channel

Beijing: Bekas pemain nombor satu dunia, dan jaguh badminton China, Chen Long mengumumkan persaraannya pada usia 34 tahun, sekali gus menamatkan karier cemerlang dengan meraih pingat emas Olimpik dan dua gelaran juara dunia.

Pemain kelahiran Jingzhou itu memenangi emas Olimpik di Rio 2016, diikuti dengan perak pada Olimpik Tokyo, yang ditangguhkan ke tahun 2021 akibat pandemik.

Dia tidak beraksi sejak awal Ogos tahun lalu, dan kini secara rasmi mengumumkan persaraan sekali gus mengikut jejak langkah pemain legenda China dan rakan sepasukan, Lin Dan, yang bersara pada 2020.

“Ini adalah saat yang sukar bagi saya. Sangat sukar untuk mengucapkan selamat tinggal,” tulis Chen di aplikasi Weibo seperti Twitter, semalam.

“Pada saat istimewa ini, saya benar-benar penuh beremosi. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pasukan badminton China, keluarga saya dan peminat.

“Badminton adalah cinta kehidupan saya. Saya cukup bertuah kerana dapat menyarung jersi skuad kebangsaan dan bermain untuk negara saya, kerana dalam hidup tidak semua impian akan menjadi kenyataan,” katanya.

Pencapaian Chen Long sering dibayangi oleh Lin Dan yang lebih unggul, tetapi dia tetap meraih kejayaan apabila memenangi gelaran juara dunia pada 2014 dan 2015.

Dia juga meraih gangsa di Sukan Olimpik London 2012.

Loading...
Terkini