comscore
Tumpuan :
Sukan

BADMINTON: Pearly dan Thinaah mulakan kempen BWF Jelajah Dunia Akhir dengan langkah kiri

Pearly dan Thinaah sedang beraksi. – FOTO: BADMINTON PHOTO

Oleh Al Shaiful Nazib Talib

BANGKOK: Beregu wanita negara, Pearly Tan dan M. Thinaah memulakan saingan BWF Jelajah Dunia Akhir di Bangkok dengan langkah kiri selepas tewas aksi pembukaan kumpulan B.

Berdepan pasangan Indonesia, Apriyani Rahayu dan Siti Fadia Silva Ramadhanti, kekalahan ‘straight set’ dialami beregu wanita utama negara itu, tunduk dengan kekalahan 21-23 dan 19-21.

Berdasarkan keputusan, jelas kerja keras dipamerkan Pearly dan Thinaah untuk meraih kemenangan, namun, tuah nyata lebih memihak pasangan dari Indonesia itu yang melengkapkan pertarungan dalam tempoh 47 minit.

Cabaran Pearly dan Thinaah bagaimanapun masih belum berakhir, dijadualkan berdepan pilihan keempat dari China, Chen Qing Chen dan Jia Yi Fan sebelum bertemu satu lagi pasangan dari China yang juga merupakan gandingan pilihan kedua kejohanan, Zhang Shu Xian dan Zheng Yu.

Nasib sama turut dialami satu lagi gandingan beregu wanita, Vivian Hoo dan Lim Chiew Sien.

Mereka yang memulakan aksi dalam kumpulan A menentang pilihan utama dari Korea, Jeong Na Eun dan Kim Hye Jeong turut mengalami kekalahan ‘straight set’, tewas dengan keputusan 18-21 dan 13-21.

Esok, Vivian dan Chiew Sien akan bertemu gandingan Thailand, Benyapa Aimsaard dan Nuntakarn Aimsaard sebelum dijaualkan berdepan satu lagi pasangan Thailand, Jongkolphan Kititharakul dan Rawinda Prajongjai.

Sesi sebelah pagi, hanya gandingan campuran Tan Kian Meng dan Lai Pei Jing memulakan kempen dengan kemenangan.

Mereka mengejutkan pilihan ketiga dari China, Wang Yi Lyu dan Huang Dong Ping menerusi pertarungan tiga set yang memakan masa sehingga 61 minit, menang dengan keputusan 23-21, 14-21 dan 21-16.

Esok, Kian Meng dan Pei Jing akan berdepan pasangan Thailand, Dechapol Puavaranukroh dan Sapsiree Taerattanachai dan kemenangan akan menjamin tempat mereka di pusingan seterusnya.

Loading...
Terkini