comscore
Tumpuan :
Sukan

BADMINTON: Pencapaian 2022 tidak memuaskan, Zii Jia terima tawaran latihan BAM, Taiwan sebagai persiapan musim baharu

FOTO: Team LZJ / Twitter

Oleh Saiyed Ismail Saiyed Hussin

PETALING JAYA: Jaguh perseorangan lelaki Lee Zii Jia sudah merancang persediaan menuju musim pertandingan baharu 2023.

Pemain profesional negara itu menjelaskan akan terus bekerja keras memperbaiki prestasinya selepas merumuskan tidak begitu berpuas hati dengan pencapaian tahun ini meskipun diakhiri dengan ranking kedua dunia.

Anak kelahiran Alor Setar berusia 24 tahun itu mengakui beliau perlu terus meningkatkan serta membuktikan kemampuan sebenar sekaligus bersedia melaksanakan beberapa program persiapan.

“Saya sudah memulakan persediaan menuju tahun depan dan antaranya ialah menerima tawaran berlatih di Akademi Badminton Malaysia (ABM) kepada pemain bebas oleh Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dengan rendah diri,” menurut kenyataan  yang dikeluarkan pemain itu.

Zii Jia yang dibentuk menerusi sistem pembangunan BAM sebelum memutuskan keluar dari badan induk badminton negara tahun lalu turut bersetuju suasana latihan dan kualiti di ABM merupakan yang terbaik di negara ini dan sudah pasti akan memanfaatkan semua pihak terutamanya saingan berpasukan di masa hadapan.

Juara Asia, Terbuka Thailand serta Terbuka Denmark 2022 itu turut berharap dapat mengukuhkan disiplin, kekuatan mental dan fizikal apabila menjalani kem latihan di Taiwan bersama penaja utama Victor dan pemain tempatan dari 19 hingga 25 Disember bagi mengharungi tahun baharu.

“Jumpa anda semua di Terbuka Malaysia 2023,” tulis Zii Jia di akhir kenyataan.

Saingan di Arena Axiata Bukit Jalil bertaraf Super 1000 itu dijadual berlangsung pada 10 hingga 15 Januari dan bakal menjadi pertandingan pertama Jelajah Dunia BWF pada 2023.

Loading...
Terkini