
BASEL: Penampilan pemain badminton negara di Terbuka Switzerland bermula dengan baik apabila tiga wakil Chen Tang Jie/ Toh Ee Wei, Ong Yew Sin/ Teo Ee Yi dan Lee Zii Jia menempah slot ke suku akhir.
Beregu campuran Tang Jie/ Ee Wei membuat kejutan di pusingan kedua dengan menyingkirkan He Ji Ting/ Du Yue dari China 11-21, 21-14 dan 21-14 dalam permainan selama 47 minit.
Sandaran perseorangan lelaki, Zii Jia menepati ramalan melepasi halangan Nhat Nguyen dari Ireland.
Wakil profesional negara itu menang straight-set 21-19, 21-15.
Yew Sin/ Ee Yi yang menentang Kenya Mitsuhashi/ Hiroki Okamura dari Jepun pula diajak bertarung ke set penentuan sebelum mara.
Beregu lelaki bebas itu yang turun selaku pilihan ketiga mencatat keputusan 15-21, 21-13 dan 21-15.
Cuma berita kurang enak dari pasangan beregu lelaki kebangsaan Aaron Chia/ Soh Wooi Yik apabila tidak mampu melangkah jauh.
Juara dunia 2022 yang diletakkan sebagai pilihan utama kecundang 21-17, 16-21 dan 17-21 kepada bukan pilihan Akira Koga/ Taichi Sato dari Jepun.